Berang keadaan jerebu yang semakin buruk, satu laporan polis dibuat terhadap kerajaan Indonesia dalam usaha untuk menyaman AS$100 juta (RM428 juta) republik itu.
Perkara itu tersebar selepas satu salinan laporan polis yang dimuat naik ke laman web NGO Malaysia Crime Watch Task Force malam tadi.
Bagaimanapun bahagian butiran peribadi mengadu termasuk namanya dikaburkan pada gambar laporan yang disunting itu.
Menurut maklumat laporan tersebut ia dibuat di sebuah balai polis di Kepala Batas, Pulau Pinang petang semalam.
Pengadu berkata, tengah hari semalam dia mendapati keadaan jerebu di kawasan pekan Kepala Batas semakin teruk menyebabkan dia dan keluarga mengalami kesukaran bernafas.
"Kerana keadaan ini, saya amat tidak berpuas hati dengan kerajaan Indonesia yang menyebabkan jerebu dan mahu mengambil tindakan di mahkamah antarabangsa serta menyaman AS$100 juta daripada kerajaan Indonesia," katanya melalui laporan polis tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Azmi Adam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan laporan tersebut.
Stesen pemantauan paling dekat dengan Kepala Batas di Seberang Jaya dan Sungai Petani.
Ketika laporan polis itu dibuat, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua stesen tersebut masing-masing 146 dan 140, sekali gus menunjukkan tahap kualiti tidak sihat.
Sumber : Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN