PEMBELIAN rumah ketika ekonomi negara tidak menentu
pastinya memberi kesan kepada seseorang itu apatah lagi harga rumah dan
hartanah semakin meningkat.
Malah begitu banyak keluhan yang didengari Azizul Azli mengenai perkara
itu terutamanya dalam kalangan anak muda. Rungutan seperti harga rumah
sangat mahal, generasi muda tidak mampu membeli dan terpaksa menyewa
hingga ke tua.
Namun bagi Azizul Azli, perkara yang dirungutkan itu merupakan realiti
yang berlaku hari ini atau sememangnya sikap golongan muda yang suka
mengalah sebelum mencuba.
Berpegang kepada prinsip, katanya, orang muda zaman sekarang harus mengikat nafsu daripada membeli kenderaan terlebih dahulu.
Tegasnya, mereka harus membeli hartanah dahulu sebelum kenderaan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Azizul gigih ‘buru’ rumah lelong]
‘Jika kita mampu membeli kenderaan, kita sebenarnya mampu beli kediaman!’
Dengan situasi ekonomi semasa, adakah ia waktu yang sesuai untuk melakukan pelaburan terutamanya hartanah?
Sebelum memulakan pembelian kenderaan, kita harus bertanya dengan diri
sendiri mengenai persiapan untuk masa hadapan dan keperluan utama. Jika
kita sekadar melakukan pelaburan semata-mata mengikut rakan, baik
lupakan sahaja niat itu.
Perlu anda ketahui bahawa pelaburan hartanah hari ini menjadi satu gerakan popular, namun jangan tersilap langkah.
Setiap kali ingin melakukan sesuatu pelaburan, kita wajib mengetahui risiko dan impak kepada diri sendiri.
Kebiasaannya alasan yang sering digunakan pelabur dalam hartanah adalah
sebagai dana persaraan awal dan jaminan kepada anak cucu.
Ada juga yang ingin dijadikan sebagai warisan keluarga, dana
pendidikan, aset perniagaan, trofi kejayaan, ‘mesin wang bulanan’ dan
hadiah untuk yang tersayang. Perlu diingatkan, pelaburan hartanah bukan
pelaburan baik sekiranya kita bukan pelabur yang bagus.
Ramai berpendapat bahawa membeli rumah akan menambah hutang sedia ada dan beri impak negatif, adakah benar perkara itu?
Berhutang untuk membeli hartanah dianggap sebagai hutang yang baik. Ini
kerana di kala kita menikmati peningkatan nilai hartanah, pinjaman juga
akan semakin berkurangan.
Tidak cukup itu, kita akan dihidangkan dengan pendapatan pasif daripada
hasil hartanah itu. Selain hanya membeli, kita juga perlu menghiasi
dalaman rumah yang dibeli agar nilai sewaan lebih tinggi.
Sekiranya mahu hartanah mendapat perhatian, lokasi menjadi peranan
penting seperti berdekatan dengan kilang, universiti dan pusat bandar.
Jika rumah kelihatan cantik, potensi untuk ia disewa amat tinggi.
Perlu diingatkan bahawa kawasan pedalaman juga mempunyai nilai hartanah cukup komersial apatah lagi harganya masih lagi rendah.
Pelaburan di kawasan itu tidak menjadi satu kerugian sebaliknya perlu
memandang ke hadapan kerana ia mungkin akan naik. Status ‘bandar’ juga
memainkan peranan penting kerana kawasan itu berkemungkinan besar akan
membangun dengan pesat.
Bagaimana pengurusan kewangan betul agar diri tidak dibebani hutang jika ingin memiliki rumah lebih daripada satu?
Sebenarnya dengan membeli banyak hartanah adalah satu kelebihan kepada
individu itu. Namun tanpa pengurusan betul, hartanah atau aset tersebut
mungkin dilelong bank jika tidak dapat beri komitmen terhadap pembayaran
bulanan.
Semestinya pemilikan rumah lebih banyak, lebih bagus kerana ia menyumbang kepada pendapatan pasif hasil sewaan bulanan.
Ia bermaksud pendapatan yang diterima tanpa usaha tetapi diperoleh
secara berterusan ke poket kita. Malah kita tidak perlu bekerja
untuknya, sebaliknya ia akan bekerja untuk kita. Satu konsep yang mudah
difahami namun memerlukan pengurusan betul.
Bagi saya, setiap rumah yang dibeli ditetapkan harga bawah RM50,000
sama ada rumah lelong atau rumah terpakai. Sebagai contoh, pembayaran
bulanan bagi jumlah itu dengan bank selama 30 tahun bernilai RM250.
Jika kita menyewakan rumah tersebut dengan nilai RM600, ada lebihan
sewa sebanyak RM350 dan ia boleh dimasukkan ke tabung pendidikan
anak-anak atau kecemasan. Asas kewangan ini boleh diaplikasikan secara
berterusan terhadap bakal rumah yang dibeli.
Saya sendiri menyimpan impian untuk memiliki 20 buah rumah namun masih
belum mencapainya. Saya sedar bahawa rumah tidak boleh dibawa ke kubur
namun kita boleh mewarisinya kepada anak cucu atau mewakafkan rumah
untuk kegunaan amal.
Ramai menzahirkan punca utama gagal membeli hartanah berpunca daripada gaji kecil, mungkin anda ada solusinya?
Kebanyakan masyarakat kita menganggap bahawa kehidupan seorang
pensyarah pastinya mewah dan menggunakan barangan berjenama sahaja.
Definisi mewah pada pandangan saya cukup berbeza. Berdasarkan
pengalaman sendiri, ada sahabat saya yang bekerja kilang dengan
pendapatan RM1,800 sebulan manakala pendapatan pensyarah RM5,000 sebulan
dianggap begitu mewah.
Seiring dengan perkembangan teknologi, kehidupan juga perlu ada kecanggihan begitu juga dengan gaji.
Perbelanjaan tanpa ilmu pengurusan kewangan pastinya menjadikan kita
semakin ‘kaya’ di mata masyarakat namun ‘miskin’ simpanan masa depan.
Seharusnya, gaji yang diperoleh disimpan dahulu bukannya berbelanja
dahulu baru simpan. Perkara ini harus diubah, jika tidak kita akan gagal
selamanya untuk memiliki rumah idaman sendiri.
Sekiranya ingin menyewakan kediaman yang dibeli, apakah harus dilakukan agar ia tidak dibiarkan kosong?
Sebelum membeli rumah lelong, harus diingatkan bahawa terdapat
ciri-ciri pemilihan untuk membeli rumah tersebut. Perkara pertama saya
lihat adalah dari segi faktor harga murah iaitu bawah RM50,000.
Lokasi pula berdekatan dengan kemudahan asas dan fasiliti seperti
sekolah, universiti dan sebagainya. Jika terdapat rumah baharu atau
pemilik tidak pernah menduduki rumah itu selepas dibeli selama bertahun,
rumah tersebut masih lagi elok dan tidak perlu banyak penambah baikan.
Lokasi juga perlu berhampiran pasar raya memudahkan pembelian barangan
keperluan dapur dan banyak peluang pekerjaan wujud. Padat dengan
pekerja, pastinya kawasan itu menjadi tumpuan pekerja tempatan dan
asing.
Pengurusan dan blok baharu, ia tidak seperti blok kusam dan buruk
akibat pihak pengurusan mengabaikan tanggungjawab mereka dalam membaik
pulih kawasan perumahan.
Blok perumahan tunggal menjadikan ia tarikan utama untuk mereka yang
ingin menyewa rumah. Dan akhir sekali, kenaikan nilai hartanah walaupun
kadar peningkatan perlahan namun harga masih di bawah harga pasaran.
Kredit : Sinar Harian Online
www.kelabsimkad.com/daus