Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Catatan Popular Minggu Lepas

Sabtu, 30 April 2016

Norafiza ejen hartanah berjaya

Norafiza ejen hartanah berjaya

PERUNDING Hartanah SMY Valuers & Consultants Sdn Bhd, Norafiza Arifen, 32, tidak menyangka menerima pengiktirafan besar sebagai Ejen Hartanah Terbaik Dalam Talian (online) 2015 oleh MIEA- PropertyGuru tahun lalu.

Kerjaya Norafiza yang pada mulanya hanya sekadar mencuba satu pengalaman baharu itu, tidak langsung menjangka dia mampu berada di tahap hari ini.

Baginya anugerah itu adalah pengiktirafan terbesar walaupun baru berkecimpung dalam bidang hartanah selama hampir tiga tahun.

“Penilaian dibuat berdasarkan kepada amalan pengiklanan dalam talian dan bukannya kepada jualan semata-mata.

“Saya tidak sangka kerana terdapat persaingan yang kuat di dalam bidang ini memandangkan saya masih baru," kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Menerusi anugerah itu, Norafiza telah mula dikenali ramai, sekali gus menambah kepercayaan orang ramai untuk berurusan dengannya.

Bercerita tentang permulaan kerjayanya, Norafiza berkata, tanpa sebarang pengetahuan berhubung hartanah, dia nekad melepaskan kerjayanya sebagai seorang jurutera elektrik di beberapa syarikat jurutera selama lima tahun.

Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini mempunyai angan-angan untuk menjadi pelabur dan memiliki banyak rumah.

Atas impian itu jugalah, Norafiza mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Di situlah perjalanan dunia hartanah anak kelahiran Manjung Perak ini bermula.

Pada Jun 2013, Norafiza menjadi ejen hartanah sepenuh masa di Chester Properties Sdn Bhd. Pada asalnya dia hanya sebagai ejen di tapak-tapak pameran. Bagaimanapun, selepas menyedari cara itu kurang efisien, Norafiza membuat keputusan untuk menjadi perunding hartanah secara online.

“Cuma cabaran dalam melakukan kerja secara online ini adalah kita perlu bijak dan jujur bagi memastikan pembeli berasa selesa dan senang berurusan walaupun tidak bersua muka,” katanya.
Sehingga hari ini, siapa sangka dia mampu berjaya di dalam bidang hartanah secara online walaupun berbeza dengan pengalaman yang diperolehnya sebelum ini.

Norafiza berkata, dia mampu menguasai pengetahuan asas hartanah hanya dalam tempoh tiga bulan.
Namun, mengakui dia masih terlalu muda dalam bidang ini dan masih perlu mengasah bakat dan pengetahuan dengan lebih mendalam.

“Buat masa ini, saya hanya memberi tumpuan kepada rumah dan kondominium.

“Masih banyak yang saya tidak buat lagi. Saya harap dapat terus melebarkan sayap dengan menjadi perunding hartanah bagi kawasan komersial, bangunan pejabat dan kilang,” katanya.

Kredit : Sinar Harian Online

Khamis, 28 April 2016

Adun Permaisuri bakal MB baharu Terengganu?


Datuk Mohd Jidin ShafeeDatuk Mohd Jidin Shafee

Adun Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee disebut-sebut bakal dilantik menjadi menteri besar Terengganu yang baharu bagi menggantikan Mohamad Razif Abdul Rahman.

Bahkan, biodata beliau sebagai bakal MB baru mula disebarkan menerusi laman-laman sosial khasnya Facebook dan Whatsapp.

Ini ekoran tindakan Istana Terengganu menarik balik semua gelaran yang diberikan kepada MB Razif pada Jumaat lepas.

Berita yang mulanya disiarkan oleh Malaysia Dateline itu disahkan kemudiannya oleh jurucakap istana.

Nama Mohd Jidin mula disebutkan sebagai bakal ganti Razif sejak beberapa bulan lalu lagi melalui perbualan mulut ke mulut.

Selain Mohd Jidin, nama Datuk Rozi Mamat, Adun Telemong yang juga Exco Kerajaan Negeri sekarang juga disebut-sebut sebagai bakal MB yang baharu, namun beliau telah menafikannya.

Namun sehingga kini tidak dapat diketahui apakah laluan akan diambil untuk mencapai hasrat kepada perlantikan ini. Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan menghadap Tuanku Sultan Terengganu di Kuala Lumpur.

Menurut Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, ada tiga pendekatan yang boleh diambil untuk menyelesaikan krisis yang ada di Terengganu sekarang.

Pilihan itu adalah menukar MB kepada yang baharu, membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang khususnya Pas atau membubarkan Dun dan diadakan pilihanraya negeri, kata Syed Azman dalam satu kenyataannya.

Menurut sebaran yang dibuat dilaman sosial, Mohd Jidin dilahirkan pada 4 April, 1955, di Kuala Terengganu. Hasil perkahwinan beliau bersama To’ Puan Hajjah Zaimah bt. Ab. Aziz, mereka dikurniakan 5 orang cahaya mata

Pengajian beliau bermula di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin dalam bidang Sijil Pengajian Islam.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudiannya beliau meneruskan pengajian untuk berkhidmat di dalam perkhidmatan awam di Institut Tadbir Awam Negara dengan mengambil Sijil Pengurusan Awam.

Kerjaya beliau bermula sebagai Penolong Kaji Cuaca (Persekutuan) dan seterusnya mengorak langkah dalam perkhidmatan awam ke jawatan yang lebih tinggi.

Beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 1991. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Negeri Terengganu pada tahun 2008.

Antara jawatan beliau dalam komponen Parti UMNO ialah Ketua Umno Bahagian Setiu, Terengganu. Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Pengerusi Biro Latihan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Ahli Jawatankuasa Biro Latihan UMNO Malaysia dan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Bahagian Setiu, Terengganu. Selain itu beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Beliau juga pernah menerima anugerah Ahli Mangku Negara ( A.M.N ) pada tahun 2001. Pada tahun 2004, beliau menerima Darjah Mulia Seri Melaka ( D.M.S.M ) yang membawa gelaran Datuk. Beliau juga antara penerima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat RELA dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Generasi Baru Felda (ABFM) Malaysia 2007.

"Selamat Bertugas MB Baru," kata sebaran itu.

Hari ini mesyuarat mingguan Exco  berjalan seperti biasa  di Wisma Darul Iman dengan dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.

Tinjauan Bernama mendapati kesemua barisan Exco hadir pada mesyuarat itu.

Ahmad Razif tiba di Wisma Darul Iman dengan kenderaan rasminya pada kira-kira 9.25 pagi.

Beliau yang memakai kemeja berwarna putih dan tali leher berwarna biru kelihatan ceria dan turut menyapa wartawan yang menunggu sejak 8.30 pagi.

Beliau kemudiannya masuk ke bilik mesyuarat bersama-sama semua sembilan Exco bagi mengadakan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat 22 April, dan perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama pada Isnin.


| MALAYSIA DATELINE

Selasa, 26 April 2016

Bilakah hutang negara liabiliti kepada ekonomi?

 Bilakah hutang negara liabiliti kepada ekonomi?

SEJAK tahun 2009, paras hutang kerajaan persekutuan telah melangkaui paras yang melebihi 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Pada tahun 2015, paras hutang kerajaan persekutuan direkodkan sebanyak 54.3 peratus kepada KDNK.

Walaupun paras hutang negara masih berada di bawah siling yang ditetapkan iaitu 55 peratus, wujud kebimbangan di kalangan rakyat tentang tadbir urus fiskal negara.
Persoalannya di sini ialah adakah hutang negara yang tinggi baik untuk pertumbuhan ekonomi? Biar saya jelaskan seperti berikut.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati ekonomi cenderung bertumbuh lebih pantas jika kadar hutang kepada KDNK di bawah paras 41.9 peratus.
Pada paras di antara 42.0 peratus sehingga 54.7 peratus, ekonomi masih bertumbuh tetapi dengan kadar yang lebih perlahan. Sebaliknya jika kadar hutang melebihi paras 54.7 peratus, maka ia berpotensi memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Hubungan di antara paras hutang dan pertumbuhan ekonomi dipengaruhi oleh gelagat tadbir urus hutang negara. Tidak menjadi kesulitan jika hutang negara melebihi tahap siling asalkan hutang tersebut diuruskan secara efisyen dan produktif.

Kadar hutang menjadi liabiliti kepada sesebuah negara apabila hutang tersebut dibelanjakan kepada aktiviti ekonomi yang tidak strategik dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK.
Mengapa tadbir urus hutang negara sangat penting kepada rakyat? Hal ini kerana lebih daripada 90 peratus daripada hutang negara diperolehi daripada sumber dalaman. Jadi ia bermakna secara tidak langsung hutang tersebut dibiayai oleh rakyat.

Kerajaan perlu memastikan setiap Ringgit yang dibelanjakan akan memberi manfaat maksimum kepada rakyat. Jika disandarkan kepada konsep “golden rule”, kerajaan perlu memastikan sebahagian besar atau keseluruhan hutang tersebut digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang produktif.

Perlu diingatkan bahawa pengurangan cukai hari ini bermaksud peningkatan cukai di masa hadapan. Perbelanjaan pembangunan yang produktif memberi pulangan di masa hadapan dan seterusnya memberi manfaat kepada generasi berikutnya. Kita tidak mahu berlaku situasi di mana generasi akan datang menyalahkan kita kerana tadbir urus fiskal yang lemah.

Sebagai penutup, berikut disarankan beberapa pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan tadbir urus hutang yang efisyen dan produktif.

Pertama, perbelanjaan perlu disasarkan kepada sektor ekonomi yang mempunyai kesan pengganda nilai ditambah yang tinggi. Penentuan kesan pengganda yang tinggi perlulah bersandarkan kepada penelitian dan kajian “tulen”, dan tidak bergantung semata-mata kepada saranan oleh perunding swasta.

Kedua, perbelanjaan perlu terarah kepada usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang berkompetitif. Hal ini sangat penting bagi memastikan negara tidak terkesan akibat daripada kebergantungan tinggi kepada rantaian aktiviti ekonomi berasaskan sumber.

Ketiga, kerajaan juga perlu mempergiat aktiviti eksport yang mempunyai kandungan import yang rendah. Pulangan daripada eksport boleh digunakan untuk membiayai kos pembangunan negara.
Terakhir ialah ketelusan di dalam tadbir urus perbelanjaan negara. Setiap perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan perlu kepada pertimbangan umum kerana rakyat secara tidak langsung membiayai hutang negara.

*Dr Mohd Yusof Saari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia.

Kredit : Sinar Harian Online
 

Isnin, 25 April 2016

5 Fakta Google Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Google adalah sebuah syarikat yang sedang berevolusi dan sentiasa berevolusi. Mereka berevolusi untuk menjadi lebih baik dan ianya merujuk kepada lebih besar dan berkuasa. Bercerita pula tentang syarikat multinasional yang mempunyai perkhidmatan berkaitan internet yang terbesar di dunia ini, pasti ada di antara anda yang sering membaca mengenai fakta-fakta menarik syarikat terbabit.
Persoalannya, masih ada lagikah fakta yang tidak diketahui oleh anda? Di dalam entri ini, kami akan membawakan kepada 5 fakta mengenai Google yang anda mungkin tidak tahu.

1. Google Maps membuat perkiraan trafik menerusi peranti anda.


Tahukah anda bagaimana Google Maps berfungsi? Data setiap pengguna android digunakan bagi membantu Google membuat perkiraan tentang keadaan trafik jalan berdasarkan kepada berapa laju peranti android bergerak. Pasti anda semua tidak menyangka tentang perjalanan trafik yang ditunjukkan di dalam Google Map adalah paparan masa sebenar (real time) yang menunjukkan data bagaimana pengguna android menuju ke arah jalan yang sama.

2. Google digunakan sebagai tempat memeriksa ejaan.
Kajian yang dilakukan didapati 1 daripada 20 aktiviti yang dilakukan di Google adalah untuk memeriksa apa yang mereka tulis atau dalam erti kata lain memeriksa kesalahan ejaan. Itulah gunanya salah satu fungsi yang disediakan Google iaitu “did you mean ….” yang terletak di bawah kotak carian.

3. Yahoo! pernah ditawarkan untuk memiliki Google.

Pada tahun 1997, Yahoo! pernah ditawarkan untuk mengambil alih Google dengan nilai pembelian sebanyak AS$1 juta. Pada masa itu, Yahoo! menolak tawaran tersebut. Kemungkinan selepas itu mereka melihat Google mempunyai masa depan yang cerah, jadi pada tahun 2002 Yahoo! menawarkan diri untuk membeli Google dengan nilai AS$3 bilion. Namun pada masa itu sudah terlambat. Kini syarikat Google adalah syarikat berjaya yang bernilai hampir AS$65 bilion.

4. Google berasal daripada garaj.


Enjin carian yang paling terkenal di dunia sebenarnya bermula di garaj. Larry Page dan Sergey Brin, graduan Universiti Stanford, menyewa sebuah garaj daripada rakan, Susan Wojcicki, pada bulan September tahun 1998. Mereka bekerja siang dan malam untuk beberapa bulan dan membangunkan apa yang akan dikenali sebagai Google.

5. Google failkan paten untuk kanta lekap dengan kamera terbina.

Google telah mencipta kanta lekap pintar yang diintegrasikan dengan kamera yang sangat kecil dan diletakkan di bahagian pinggir kanta lekap supaya ianya tidak mengaburi penglihatan pengguna. Oleh kerana ia menjadi sebahagian daripada kanta lekap, maka kamera tersebut secara automatiknya akan mengikut pandangan pengguna.
Kredit : http://babab.net

Jumaat, 22 April 2016

Lebih sejuta pelanggan dilapor tinggalkan MAXIS

maxis_600

PETALING JAYA: Syarikat telekomunikasi, MAXIS Bhd (MAXIS) dilapor kehilangan sejuta pelanggan sepanjang 12 bulan lalu manakala sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lebih 400,000 pengguna meninggalkan syarikat itu.

Walaupun syarikat mencatatkan peningkatan pendapatan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, namun tindakan pelanggan meninggalkan syarikat itu mungkin menjadi pengajaran kepada MAXIS untuk lebih berhati-hati dalam menjaga hubungan dengan pelanggan.

Sebahagian besar pelanggan meninggalkan MAXIS tahun ini dikaitkan dengan isu yang menjadi tumpuan di media sosial baru-baru ini yang melibatkan insentif data internet yang disediakan syarikat untuk pelanggan baharu MAXISOne tetapi tidak terpakai untuk pelanggan lama.

Pengguna mobil internet MAXIS dilapor jatuh kepada 8.5 juta pengguna dalam tempoh suku pertama tahun ini berbanding sembilan juta pengguna dalam tempoh yang sama tahun lalu, lapor akhbar perniagaan Malaysia Reserve berdasarkan laporan suku tahunan syarikat itu.

Pendapatan MAXIS meningkat kepada RM484 juta untuk tiga bulan pertama tahun ini berbanding RM477 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu, hasil pengurangan operasi syarikat, kata akhbar itu yang memetik penganalisis.

Namun, pendapatan syarikat daripada perkhidmatan prabayar dan pascabayar jatuh 2.5 peratus dan 1.7 peratus kepada RM1.02 bilion dan RM994 juta.

Menurut penganalisis itu, MAXIS terlalu lambat memberi reaksi terhadap perubahan pasaran.
Katanya, pesaing seperti DiGi dan Celcom telah menawarkan pelan lebih murah manakala syarikat telco kecil iaitu UMobile dan TuneTalk telah ‘makan’ pasaran MAXIS.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, MAXIS seperti leka. Syarikat ini terlalu yakin dan selesa serta menganggap pelanggan akan sentiasa bersama mereka,” kata ketua sebuah firma sekuriti di ibu negara yang dipetik akhbar itu.

Akhbar itu melaporkan, berdasarkan analisis, kehilangan pelanggan MAXIS merupakan kemenangan besar kepada pesaingnya.

Sebagai contoh, suku pertama tahun lalu, pelanggan baru DiGi Telecommunications Sdn Bhd meningkat sebanyak 450,000 orang sementara MAXIS kehilangan 377,000 pelanggan.

Baru-baru ini, MAXIS memohon maaf di atas layanan tidak adil dan menawarkan data percuma 3GB kepada pelanggan MAXISOne yang tidak puas hati dengan pelan data internet.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Morten Lundal dan Ketua Bahagian Pelanggan, Dushyan Vaithiyanathan, tampil memohon maaf pada sidang video Facebook secara langsung pada 8 April lalu.

Kredit : www.freemalaysiatoday.com

Khamis, 21 April 2016

7 syarikat penerbangan tubuh persatuan


7 syarikat penerbangan tubuh persatuan

TUJUH syarikat penerbangan Malaysia bergabung tenaga menubuhkan Persatuan Syarikat Penerbangan Udara (AMAC).

Tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah masing-masing dan Pendaftar Persatuan, syarikat pengasas persatuan ini terdiri daripada Malaysia Airlines Bhd, MASwings, Firefly, AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd, Malindo Air dan Berjaya Air.

Persatuan itu terbuka kepada semua syarikat penerbangan udara di Malaysia.

Tujuan penubuhan AMAC bermatlamat menyediakan platform bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan industri itu,kata Malaysia Airlines dan AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi perwakilan setiap operator utama, persatuan itu akan memastikan satu suara dalam industri penerbangan dan pada masa yang sama mewakili kepentingan industri yang seragam dalam kalangan institusi seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

AMAC akan melibatkan diri dalam isu seperti meningkatkan perkhidmatan kawalan udara moden, kebimbangan aeropolitik, standard keselamatan jaminan di lapangan terbang, perubahan regim dan isu lain yang berkaitan.   

Dengan bergabung tenaga, persatuan itu juga menggalakkan pertumbuhan sihat dalam industri dan mewujudkan jawatan berkelayakan tinggi, secara langsung dan tidak langsung dalam sektor itu dan ekosistem penerbangan secara lebih meluas.

 Bernama

Rabu, 20 April 2016

Budak Malaysia miliki IQ melebihi Stephen Hawking

Budak Malaysia miliki IQ melebihi Stephen Hawking

PERTH - AUSTRALIA. Seorang kanak-kanak kelahiran Malaysia dinobatkan sebagai kanak-kanak paling pintar di Australia oleh pertubuhan IQ tinggi, Mensa malah tahap IQ yang dimilikinya juga melebihi saintis genius, Stephan Hawking.

Remaja yang kini tinggal di Perth, Sharvin Jeyendra berjaya mendapat skor IQ markah 168, lapan mata lebih tinggi dari saitis terkemuka itu.

Pelajar Sacred Heart College yang juga mempunyai bakat bermain piano dilahirkan pintar dan keluarganya tidak pernah memberi tekanan kepadanya dalam bidang akademik.

Ibu bapanya yang merupakan peguam melihat anak mereka sebagai seorang yang genius sejak kecil lagi malah dia mula berjalan dan bercakap ketika usianya sembilan bulan.

"Dia mula bercakap seperti kanak-kanak normal yang berusia dua atau tiga tahun dengan ayat serta tatabahasa yang betul," kata ibunya Deva.

"Kami sentiasa memberi galakan kepadanya dan saya fikir ibu bapa perlu melakukan ini kerana otak kanak-kanak seperti span dan boleh menyerap apa sahaja,"katanya.

Persatuan IQ tinggi, Mensa baru-baru ini menganugerahkan Sharvin sebapai kanak-kanak paling bijak di Australia sekali gus meletakkannya dia antara dua peratus daripada orang pintar di seluruh dunia.

Pelajar muda kelahiran Malaysia ini mempunyai harapan tinggi untuk masa depan dan bercadang menggunakan kebijaksanaannya untuk kebaikan.

"Apabila saya dewasa, saya mahu menjadi seorang ahli sains biologi, saya mahu mencari penawar untuk kanser.

"Malah saya juga bercita-cita menjadi ahli biologi marin untuk meneroka laut dan mempunyai yayasan kebajikan sendiri bagi membantu orang miskin di dunia," kata  Sharvin dipetik MailOnline.

Walaupun mempunyai IQ yang tinggi, Sharvin tetap sama seperti pelajar yang sebaya dengannya malah turut gemar bermain bola keranjang dan bola sepak.

kredit : sinar harian online

Selasa, 19 April 2016

Akaun FB palsu: Datuk Vida buat laporan polis

Akaun FB palsu: Datuk Vida buat laporan polis

IPOH – Jutawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Vida mengemukakan laporan polis berhubung kewujudan akaun palsu Facebook dan pautan lucah membabitkan dirinya, di Balai Polis Jelapang, di sini, hari ini.

Beliau tiba di balai polis berkenaan pada jam 3.30 petang dan selesai membuat laporan kira-kira setengah jam kemudian.

Katanya, perkara itu disedari pada 13 April lalu ketika beliau sedang melayari akaun Facebook melalui telefon bimbitnya pada jam 1 pagi dirumahnya di sini.

“Sebelum ini saya telah melihat beberapa akaun Facebook palsu yang menggunakan nama saya antaranya Dato Seri Vida, DSV Dato Seri Vida dan DS Dato Seri Vida LV Channel.

“Mereka turut mengemaskini status seolah-seolah saya pemilik akaun Facebook itu dengan memberi harapan kepada pengikut saya dengan menawarkan untuk memberikan barangan mewah seperti beg tangan berjenama dan barangan lain.

“Pada mulanya saya ingat perkara itu adalah sekadar main-main atau gurauan tapi setiap hari mereka telah menawarkan pelbagai hadiah dan ramai yang share status tersebut di Facebook masing-masing.

“Mungkin lebih kurang 1 juta orang telah berkongsi serta terpedaya dengan janji yang kononnya saya akan memberikan hadiah mewah kepada orang yang berkongsi status dikemaskini itu.

“Malah pengumuman pemenang juga menggunakan ayat yang sering saya gunakan antaranya sayang-sayang, muah-muah dan sayang buat apa itu.

“Lebih mengejutkan apabila nama pemenang yang diumumkan itu dipautkan ke akaun video lucah. Kenapa jadi macam ni? Tak ada kerja lain ke?

“Ini boleh menjejaskan reputasi dan adakah ini untuk menjatuhkan saya kerana ramai pengikut yang cuba mengikut perkembangan saya.

“Saya lihat ini adalah agenda tersembunyi untuk menjatuhkan saya,” katanya yang melihat pautan tersebut pada 17 April lalu.

Katanya, akaun sebenar Facebook miliknya didapati telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan kini beliau hanya mempunyai akaun Instagram menggunakan nama DatoSeriVida bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai dirinya.

“Sehubungan itu, saya membuat laporan polis bertujuan untuk dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mencari dalang yang bertanggungjawab atas perkara tersebut,” jelasnya

Sebelum ini, sebuah akaun palsu menggunakan nama Dr Vida menawarkan pemberian beg tangan berjenama Louis Vuiiton secara percuma kepada pengikut mereka.

Kredit : Sinar Harian Online

Jumaat, 15 April 2016

Rosyam Nor akui tidak pandai mengaji

 Rosyam Nor

KUALA LUMPUR - Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor yang juga merupakan Ikon Rumah Ngaji mengakui beliau tidak pandai mengaji sehingga usianya 45 tahun.
Beliau turut mengaku hanya menghafal tiga surah iaitu al-Fatihah, an-Nas dan al-Ikhlas.

“Saya baru tahu selama 45 tahun usia saya ini, saya baca ‘bismillah’ pun salah.

“Saya tak malu mengaku ini di hadapan anda semua. Biarlah saya malu dengan anda daripada saya malu dengan ALLAH SWT,” katanya pada perkongsian majlis #organisasingaji Ke Arah Kukuhkan Organisasi Dengan al-Quran di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, semalam.

Berkongsi ceritanya, Rosyam berkata, beliau telah diberikan segalanya oleh ALLAH, namun di saat kehilangan ayahnya, beliau menyedari bahawa beliau tidak pandai mengaji.

“Ketika ini saya rasa seorang Rosyam Nor tertunduk malu dan sedih sebab tidak tahu mengaji.
“Kadang-kadang bila jadi imam di rumah, anak-anak saya pun tahu surah apa saya akan baca. Sebab itu saya tak berlakon cerita agama,” katanya.

Terlalu lama memasang angan-angan untuk belajar mengaji, ketika penggambaran akhir filem KL Gangster 2, akhirnya hidayah buatnya hadir melalui seorang ustaz yang tidak didedahkan identitinya.
“Semasa penggambaran itu, ada seorang insan muncul dan pada awalnya saya anggap beliau hanya seorang peminat biasa. Kemudian beliau minta nombor telefon dan setiap minggu beliau hubungi saya ajak berjumpa.

“Selama empat bulan beliau hubungi saya sampai saya rimas dan akhirnya saya setuju untuk bertemu di kawasan rumah saya," katanya.

Cerita Rosyam, hatinya terdetik untuk mengaku tidak pandai mengaji dan meminta ustaz tersebut mengajarnya.

“Tapi dengan satu syarat, jangan beritahu orang lain, sebab saya malu.

“Ini masalah paling besar bila dah tua.Tapi jangan kita malu. Alhamdulillah usia 45 tahun saya mula belajar mengaji mula dengan alif, ba, ta,” katanya.

Rosyam juga memberitahu tahun lalu pada usia 48 tahun, beliau akhirnya berjaya khatam al-Quran di hadapan Kaabah.

Kredit : sinar harian online

Rabu, 13 April 2016

Cendol durian: Sedap dan menyelerakan


Cendol durian

RAJA segala buah-buahan, durian sememangnya menjadi kegemaran sesiapa sahaja sama ada dimakan begitu sahaja atau dimasak bersama bahan lain.
Cendol durian adalah menu baharu menjadi viral sejak sebulan lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Pemilik kedai Rojak Cendol Shah Alam, Mohd Hafez Hamid, 37, sejak berniaga, ‘cendol moden’ menjadi pilihan ramai sehingga memberikan inspirasi kepadanya untuk menambah menu baharu.
"Saya memperkenalkan cendol durian dan terkejut kerana menu tersebut mendapat sambutan menggalakkan. Cendol durian ternyata lain daripada cendol biasa. Cendol durian menjadi buruan ramai kerana ia sedap dan menyelerakan terutamanya pada waktu panas," katanya.

Tambah kuantiti durian

Mengakui stok durian agak sukar ditemui kerana belum musimnya lagi, Mohd Hafez optimis dapat memenuhi permintaan menu itu yang meningkat setiap hari.
Dia memilih durian tertentu sahaja iaitu Musang King kerana isinya lebih banyak dan biji kecil berbanding durian lain.

“Cendol durian berharga RM7 semangkuk laris dijual dan habis dalam tempoh dua jam selepas kedai dibuka. Waktu operasi bermula jam 6 petang sehingga 2 pagi namun pelanggan sentiasa ada,” katanya.
Bukan sahaja pelanggan dari sekitar Shah Alam malah luar dari Selangor seperti Johor, Kedah, Kelantan dan banyak lagi.

Mengakui tidak menyangka sambutan luar biasa, dia turut menerima kunjungan pelanggan dari Singapura.

“Konsep berbeza yang ditampilkan berbanding kedai lain, kebanyakan pelanggan akan kembali semula untuk menikmati cendol kami.
“Kami tidak menggunakan pes durian sebaliknya seulas durian setiap mangkuk pasti beri kepuasan,” katanya.
Katanya perniagaan Rojak Cendol Shah Alam bertempat di Medan Selera Delima, Seksyen 24, Shah Alam sudah dua tahun beroperasi.

Namun sejak penambahan menu cendol durian itu, jualan semakin meningkat dari hari ke hari. Apatah lagi ia menjadi viral di laman sosial, pengunjung di gerainya semakin bertambah.
Mohd Hafez berkata stok durian terpaksa ditambah daripada RM600 kepada kapasiti lebih besar.

Rasa berbeza

Menurut pekerja swasta, Khairul Fahmy Md Yasin, 38, durian cendol berbeza dengan cendol biasa. Berbanding dengan cendol pulut atau lain-lain, cendol tersebut mempunyai rasa lebih ringan dan enak.
"Mungkin santannya tidak sama dengan santan biasa, semangkuk cendol tidak mempunyai rasa muak.

"Kelainan santan sawit sangat berbeza, walaupun pekat namun dapat menghabiskan semangkuk cendol," katanya.

Selepas ia diviralkan, dia terus mencuba cendol itu dan kini menjadi pelanggan setia. Katanya, lokasi gerai pula lebih selesa berbanding tempat lain.
"Kebiasaannya kita makan cendol di tepi jalan atau padang. Namun lokasi di sini agak strategik kerana menjadi tempat lepak dan selesa makan bersama rakan," katanya.
Tambahnya, tiada lagi konsep sebegitu diterapkan di kalangan peniaga cendol. Bukan sahaja dapat menikmati cendol istimewa, lokasinya pula santai dan selesa.

Peminat tegar

Bagi pembantu kedai, Honeysyam Samuin, 38, berkata cendol durian enak dimakan ketika cuaca panas.

"Cuaca tidak menentu membuatkan saya mencari sesuatu yang boleh menghilangkan kepanasan dan dahaga. Setelah membaca mengenai populariti cendol ini, saya segera mencarinya," katanya.
Ternyata dia begitu berpuas hati dengan keenakan cendol tersebut. Katanya, bukan sahaja menghilangkan rasa haus malah dia dapat menikmati buah kegemarannya, durian.
Tambahnya, musim sekarang belum lagi musim durian dan agak sukar mencari raja buah itu.
Memandangkan dia kini dapat menikmati durian dengan cara berbeza, cendol tersebut menjadi santapan di kala ada kelapangan.

"Saya boleh dikatakan penggemar tegar kerana setiap minggu datang ke sini. Resipi lama diperbaharui seperti ini pastinya menarik orang ramai," katanya.
Dia berkata, ia sesuatu yang berbeza dan berharap rakyat Malaysia lebih kreatif dalam inovasi dan persembahan makanan.

Kredit : Sinar Harian Online

Isnin, 11 April 2016

Dr Zakir Naik : Tangkis propaganda barat

Dr Zakir: Tangkis propaganda barat

KUALA TERENGGANU – Media Islam perlu memainkan peranan dalam menangkis propaganda yang dicetuskan pihak barat sekali gus berperanan dalam membangunkan minda ummah.
Pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik berkata, peranan besar dimainkan media Islam berupaya menangkis gambaran salah yang digembar-gemburkan pihak barat terhadap Islam.

“Menerusi peranan dan tanggungjawab yang dimainkan media Islam, pandangan umum mengenai sesuatu isu dan peristiwa yang dikaitkan dengan Islam berupaya dibentuk sekali gus memberi gambaran sebenar agama suci ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi tazkirah sempena Majlis Makan Malam bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat negeri, pengarah-pengarah jabatan dan agensi serta pengamal media.

Dr Zakir yang juga Pengasas dan Presiden Islamic Research Foundation (IRF) berkata, atas kesedaran terhadap ancaman propaganda barat, pihaknya telah menubuhkan sebuah saluran satelit Islam pada 2006, Peace TV bagi mempromosikan kebenaran, keadilan, moral, keharmonian, kebijaksanaan dan keamanan bagi seluruh umat manusia.

Beliau berkata, Peace TV yang bersiaran selama 24 jam setiap hari itu adalah saluran agama yang mempunyai penonton paling ramai dari seluruh dunia.

“Barat menggunakan media sebagai alat untuk menyerang Islam jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan persepsi salah itu kepada masyarakat dunia,” katanya.

Dr Zakir kini dalam siri jelajah di Terengganu dan dijadualkan menyampaikan syarahan umum di Stadium Tertutup Gong Badak malam tadi diikuti hari ini di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Masjid Hadhari, Besut (12 April) serta di Dewan Sri Amar, Chukai, Kemaman (13 April).

Kunjungan pertama pendakwah kelahiran Mumbai, India di negeri ini adalah atas jemputan peribadi Menteri Besar dalam satu pertemuan di Korea sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, syarahan umum tokoh intelektual itu di empat daerah di negeri ini akan disiarkan di saluran Peace TV yang secara tidak langsung dapat mempromosikan Terengganu di mata dunia.

“Kehadiran Dr Zakir ke sini merupakan kisah kejayaan terbaharu kita dan saya harap seluruh rakyat termasuk di negeri jiran dapat memanfaatkan acara ini,” katanya.

kredit : Sinar Harian Online

Ahad, 10 April 2016

Jasad Tak Membusuk, Karomahkah?

Ilustrasi jenazah 
KIBLAT.NET – Autopsi jenazah Siyono korban Densus 88 yang dilakukan oleh tim dokter forensik Muhammadiyah menarik pemberitaan media massa pada Ahad (03/04) kemarin. Sebagaimana banyak diberitakan, jasad Siyono diketahui masih utuh dan tidak membusuk. Saat menangani jasad Siyono, para dokter pun tidak menggunakan masker karena memang tidak menimbulkan bau busuk.

Dari peristiwa di atas, muncullah berbagai pertanyaan, apakah jasad orang yang shalih atau mati syahid itu benar-benar masih utuh dan tidak dimakan tanah?

Dalam hal ini kami telah bertanya kepada 2 orang dokter yang kami kenal. Keduanya sama-sama mengatakan bahwa kondisi jenazah yang masih normal dan tidak berbau setelah 20 hari pemakaman itu tidak lazim. Salah seorang dokter yang kami hubungi mengatakan bahwa menurut ilmu forensik, jasad setelah 3-5 hari akan mulai melembek. Adapun setelah sepekan, jasad mulai mengalami proses penghancuran. Dokter yang lainnya menambahkan bahwa proses pembusukan oleh tanah adalah 8 kali lebih cepat dari air dan udara.

Berdasarkan pemaparan kedua dokter di atas, lazim tidaknya peristiwa yang menimpa jenazah Siyono, dapat Anda nilai sendiri. Adapun yang perlu diketahui, sebuah peristiwa yang tidak lazim atau luar biasa jika terjadi kepada nabi maka itu mukjizat. Jika itu terjadi kepada orang shalih, maka itu karomah, sedangkan jika terjadi pada orang jahat maka itu adalah sihir.

Dalam buku ‘Ayaturrahman fi jihadil Afghan’ (edisi terjemahan) yang dikarang oleh syaikh Dr Abdullah Azzam, beliau berkata, “Karamah dan mukjizat, keduanya adalah peristiwa aneh yang terjadi di luar kebiasaan, kadang-kadang peristiwa aneh itu (luar biasa) terjadi pada diri seorang nabi, kadang-kadang pada diri seorang wali shalih dan bahkan terjadi pada diri orang kafir dan orang yang gemar berbuat maksiat.”
Sementara itu dalam situs Dorar.net, syaikh Utsaimin berkata, “Karamah adalah perkara yang terjadi di luar kebiasaan yang Allah kehendaki terjadi pada diri wali Allah, baik itu sebagai penguat baginya, bantuan, pengokoh, bahkan bentuk pertolongan untuk agama.” (Majmu Fatawa Ibnu Utsaimin 8/626)

Syaikh Abdullah Azzam di dalam buku di atas juga mengingatkan bahwa karomah yang terjadi pada seseorang tidak menunjukkan bahwa pelakunya lebih baik dari orang lain. Bahkan jika pelakunya merasa ujub dengan karomah tersebut, bisa saja mengurangi nilainya di sisi Allah. Maka banyak kita temui orang shalih justru beristighfar saat mereka mendapati karamah pada diri mereka. (Syaikh Abdullah Azzam menisbatkan hal ini kepada Majmu Fatawa 11/300)

Lantas bagaimana dengan jasad yang tidak dimakan tanah, apakah hal itu sebagai tanda mati syahid? Sejauh yang kami ketahui dan kami juga telah berusaha mencari, memang tidak ada hadits dari Nabi SAW yang mengatakan bahwa diantara tanda kesyahidan adalah jasadnya tidak dimakan tanah. Yang kami dapati justru hadits yang merangkan bahwa jasadnya para nabi tidak dimakan oleh tanah.  Rasulullah SAW bersabda:
إن الله حرم على الأرض أجساد الأنبياء
“Sungguh Allah mengaharamkan terhadap bumi jasad para nabi.” (HR Abu Dawud, An Nasa’i, Ibnu majah dan Ad Darimi. Sanadnya shahih. Misykatu Al Mashabih: 1/430 bab Al Jumu’ah)
Selain itu, kami juga mendapatkan beberapa atsar dan cerita yang menyebutkan bahwa beberapa  jasad syuhada Uhud tidak dimakan oleh tanah.

Di dalam buku ‘Ayaturrahman fi jihadil Afghan’, Syaikh Azzam menukil beberapa riwayat tentang syuhada Uhud. Di antaranya Ibnu Sa’ad meriwayatkan dari Abu Zubair dan Jabir RA bahwa ketika mata air gunung Uhud meluap pada masa pemerintahan Muawiyah, kami mengeluarkan jasad para syuhada perang Uhud yang telah dikubur 40 tahun lamanya. Jasad mereka terlihat masih segar seperti ketika mereka gugur sebagai syahid.” (Fathul Bari 3/142)

Al Baihaqi meriwayatkan dari Jabir, “Kaki Hamzah (salah satu syuhada Uhud) tergores oleh sebilah kapak, dan kaki itu mengeluarkan darah.” (Al Bidayah wa An Nihayah 4/43)

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab Al-Janaiz dari Atha’ dari Jabir RA, “Aku menggali jasad syuhada Uhud setelah 6 bulan kemudian, ternyata tubuhnya masih seperti awal ketika mereka dikuburkan, kecuali bagian telinganya.”

Di dalam Al-Muwaththa’ dikisahkan dari Abdurrahman bin Abi Sho’sho’ah, bahwasanya kuburan Amr bin Al Jamuh dan Abdullah bin Amru Al Anshari terendam banjir (keduanya dikubur dalam satu liang), maka diapun menggali kubur tersebut untuk dipindahkan. Ternyata jasad keduanya tidak berubah, seperti orang yang baru meninggal kemarin sore. Padahal jarak waktu antara perang Uhud dengan saat penggalian itu adalah 46 tahun. “ (Fathul Bari 3/216)

Selain menyebut kondisi jenezah syuhada Uhud, buku Syaikh Abdullah Azzam tersebut juga menyertakan beberapa riwayat dari jihad Afghan yang menyatakan bahwa ditemukan beberapa jasad syuhada jihad Afganistan tidak hancur maupun membusuk.

Lantas, apakah tidak hancurnya jasad Siyono dimakan tanah merupakan karamah dari Allah? Kami tidak ingin menghukumi hal tersebut. Kami hanya berdoa kepada Allah agar hal itu menjadi ayat dan tanda-tanda dari Allah bahwa beliau adalah orang yang shalih, baik dan meninggal dalam keadaan terzalimi.

Wallahu a’lam bis shawab.

Penulis: Ust. Miftahul Ihsan Lc

Jumaat, 8 April 2016

Wang lesap ditipu 'Datuk'

Wang lesap ditipu 'Datuk'

SUNGAI BESAR – Seramai 16 penduduk di Parit 16 Sungai Panjang mendakwa kerugian antara RM600 hingga RM1,500 selepas ditipu pihak kontraktor yang kononnya dijanjikan peluang perniagaan di bengkel industri kecil dan sederhana (IKS) Merbau Berdarah, sejak lebih setahun lalu.

Penduduk memberitahu, pihak kontraktor meminta mereka menyediakan wang pendahuluan untuk membaik pulih premis dan memasang pendawaian elektrik di bangunan bekas pusat latihan GiatMara Sabak Bernam yang terbiar sejak sekian lama.

Bagaimanapun, sehingga kini, kontraktor yang diketuai seorang bergelar ‘Datuk’ bersama seorang wanita menghilangkan diri selepas menerima wang bayaran tapak ekspo yang berlangsung di hadapan premis terbabit.

Malah, lebih mengecewakan, seramai 15 pekerja pentadbiran termasuk pengawal keselamatan dan tukang kebun yang diambil bekerja dengan kontraktor itu turut tidak dibayar gaji selepas berkhidmat selama sebulan dengan pihak terbabit.

Gotong-royong bersih premis

Penduduk, Salasiah Sahat, 40, berkata, pihak kontraktor menjanjikan kawasan itu bakal dibangunkan premis perniagaan seperti kedai makan, kedai jahitan, bengkel motosikal dan pusat urutan tradisional.

“Mereka dah daftar nama penduduk yang nak berniaga di sini. Bila dah daftar, pihak terbabit minta kami bayar wang pendahuluan sekurang-kurangnya RM600 untuk kerja baik pulih,” katanya.

Menurutnya, penduduk yang membayar deposit juga diminta menyertai gotong-royong membersihkan kawasan premis terbabit.

“Kamilah yang tebas lalang dan semak samun, buang kaca tepi jalan, bersih longkang dan sebagainya. Ingatkan bila dah bersih, senanglah nak berniaga, tapi semuanya indah khabar dari rupa,” katanya.

Dia berkata, seorang anaknya turut ditipu apabila ditawarkan bekerja sebagai kerani pemasaran di bangunan itu, namun setelah sebulan bekerja, pihak kontraktor hilang tanpa dikesan.

“Kontraktor janji nak jual barang seperti gula dan tepung dengan harga murah di premis yang akan dibuka nanti. Anak saya yang bekerja dengan mereka disuruh kutip duit tempahan barangan daripada penduduk.

“Bila anak saya dah kutip duit daripada penduduk, kontraktor pun tak nampak batang hidung,” katanya.

Malah katanya, penduduk mengeluh apabila wang tempahan untuk membeli barangan yang dijanjikan itu dilarikan dua individu berkenaan.

Salasiah berkata, kali terakhir mereka ditipu kontraktor apabila diarah membayar tapak ekspo sebanyak RM50 di hadapan bangunan premis terbabit.

“Habis saja ekspo, kontraktor pun hilang entah ke mana. Bila dihubungi, telefon bimbit mereka tak berangkat.

“Kami buntu dengan apa yang berlaku. Apa yang penting, kami nak duit kami dikembalikan semula,” katanya.

MDSB benarkan peniaga lain sewa

Seorang lagi penduduk, Kamariah Baharudin, 66, berkata, sebanyak RM1,210 wang pendahuluan diserahkan kepada kontraktor terbabit bagi menjalankan perniagaan urutan tradisional khusus untuk wanita.

“Mula-mula saya bayar RM550, lepas tu, kontraktor itu datang ke rumah saya dan minta jelaskan RM660 lagi. Dia kata nak masuk elektrik dan air.

“Saya bagi alasan tak ada duit, tapi dia desak juga dan saya minta dia beri resit dan salinan MyKad. Kontraktor tu bagi alasan MyKadnya tertinggal di rumah,” katanya.

Kamariah berkata, peniaga yang membayar wang pendahuluan di premis yang ditawarkan kontraktor itu kini berdepan tekanan apabila Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) membenarkan peniaga lain untuk menyewa premis berkenaan.

“Saya difahamkan, MDSB beri kebenaran kepada sesiapa yang nak berniaga di sini, asalkan mereka baik pulih sendiri premis terbabit, sedangkan kami yang dah ditipu bayar wang pendahuluan tak dapat keutamaan,” katanya.

Kerja tanpa gaji

Mohd Faizal Rosdi, 27, pula berkata, pihak kontraktor menawarkannya bekerja sebagai kerani komputer dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

“Sempatlah kerja sebulan, tapi hanya sia-sia kerja tanpa gaji, bila kontraktor cabut lari,” katanya.
Dia yang memiliki diploma multimedia di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, selepas kejadian itu, dia kini hanya bekerja sebagai tukang kebun di salah sebuah sekolah berhampiran.

“Ingatkan dapatlah kerja di bahagian pengurusan, malangnya ditipu.

"Sekarang ni dah tak ada pilihan kerja, terpaksalah cari rezeki di mana pun, asalkan duit yang diperoleh halal,” katanya.

Sementara itu, MDSB memaklumkan akan mengulas mengenai isu terbabit dalam masa terdekat.

Kredit : Sinar Harian Online

Khamis, 7 April 2016

Malaysia jatuh ke kedudukan ranking terendah Fifa

Harimau Malaya

SKUAD Harimau Malaysia jatuh ke posisi terendah dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) apabila menghuni kedudukan ke-174 menerusi ranking terbaharu yang dikeluarkan hari ini.

Untuk rekod, Malaysia berada pada kedudukan ke-171 dunia pada Januari dan Februari, sebelum naik lima anak tangga ke kedudukan ke-166 dunia pada Mac.

Kejatuhan mendadak ranking skuad kebangsaan itu berikutan kekalahan 0-2 kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di tempat lawan, 24 Mac lepas.

Selain itu, keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-190 dunia, Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac lepas, turut menjadi faktor kemerosotan ranking skuad kebangsaan.
Kedudukan terbaharu itu meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang tidak mempunyai kemudahan bola sepak yang lengkap seperti Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal yang berada di kedudukan ke-179.

Ranking terbaik yang pernah dicapai Malaysia ialah di kedudukan ke-75 pada 1993.

Tuan rumah bersama Piala AFF Suzuki 2016, Filipina menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan negara Asia Tenggara apabila melonjak 19 anak tangga ke kedudukan ke-116 dunia.

Dalam pada itu, naib juara Piala Copa America 2015, Argentina merampas kedudukan teratas dari Belgium dengan kutipan 1,532 mata, selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan, baru-baru ini.

Belgium yang menguasai kedudukan teratas ranking Fifa sejak November lepas,  turun satu anak tangga dengan kutipan 1,352 mata, manakala Chile yang merupakan juara Piala Copa America 2015, naik dua anak tangga ke kedudukan ketiga selepas mengumpul 1,348 mata.
Ranking Fifa itu melibatkan 209 negara.  -Bernama

Selasa, 5 April 2016

Kirim duit melalui potongan gaji

  Kirim duit melalui potongan gaji

METRO Money Exchange Sdn Bhd menyasarkan seramai 200,000 hingga 250,000 pekerja asing akan menggunakan perkhidmatan sistem pengiriman wang melalui potongan gaji bagi fasa pertama dijangka bermula pertengahan tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Mod Amin Nik Abd Majid berkata, bagi peringkat permulaan, syarikat menyasarkan penglibatan dua sektor utama negara iaitu sektor perkilangan dan pertanian kerana mempunyai jumlah pekerja asing terbanyak.

"Selepas itu, kami akan meluaskan perkhidmatan kepada sektor lain," katanya selepas pelancaran sistem pengiriman wang melalui potongan gaji di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, sistem pengiriman wang melalui proses pemotongan gaji itu dipersetujui pekerja asing untuk ditolak dan dikirim kepada waris di negara masing-masing.

Katanya, kerjasama dan penglibatan luas antara syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) penting untuk memberi pendedahan kepada pekerja asing menggunakan khidmat ini.

"Pada tahun lalu, jumlah wang dihantar pekerja asing RM34.8 bilion, yang mana RM119.6 bilion aliran wang keluar bagi tempoh lima tahun.

"Peningkatan jumlah itu menunjukkan ada keperluan untuk sistem pengiriman wang lebih sistematik, dipercayai, cekap dan telus untuk memenuhi keperluan pengiriman wang pekerja asing," katanya.
Nik Mod Amin berkata, tujuan utama perkhidmatan sistem ini bantu pekerja asing kirim wang dengan selamat.

Katanya, Indonesia akan menjadi tumpuan utama bagi fasa pertama dan diikuti negara lain seperti Bangladesh, India, Sri Lanka, Nepal, Myanmar, Vietnam dan Filipina kelak.

Sistem kiriman wang melalui potongan gaji dipercayai mampu membantu kerajaan dalam memantau aliran keluar wang ke luar negara.

METRO Money Exchange Sdn Bhd ditubuhkan pada 2007 sebagai pengimport dan pengeksport mata wang asing dan pengimport wang borong berlesen di Malaysia menerusi jenama Metro Exchange.

Kredit : Sinar Harian Online

Isnin, 4 April 2016

Rumah di bawah RM100,000 dengan deposit RM1

  Bank Rakyat

RAKYAT Johor berpeluang untuk memiliki rumah bernilai di bawah RM100,000 seunit yang dinaungi Yayasan Sultan Ibrahim dengan pembayaran deposit serendah RM1.

Inisiatif berkenaan merupakan kerjasama antara Bank Rakyat dan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memenuhi keperluan 6,000 pemohon berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman.
Presiden dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abdul Razak berkata bank itu memperuntukkan sebanyak RM500 juta pembiayaan akhir kepada pembeli yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan.

"Pembeli hanya perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Unit Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maklumat lanjut mengenai projek tersebut akan diumumkan Yayasan Sultan Ibrahim melalui Unit Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. - Bernama

Sabtu, 2 April 2016

Setahun GST: Geng oren 'serang' KL

Setahun GST: Geng oren 'serang' KL

KUALA LUMPUR - Hampir 200 orang memakai baju berwarna oren 'menyerang' Kompleks Sogo, di ibu negara bagi menyertai Himpunan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini.

Menurut penganjur Mohd Rayme Rahman, kumpulan itu daripada ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dan datang dari seluruh Malaysia.

"Ada yang datang dari Kedah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain," katanya kepada pemberita hari ini.

Kedatangan mereka diketuai oleh Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan disertai oleh beberapa pemimpin kanan Amanah yang lain.

Kredit : Sinar Harian Online

Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...

Nak beli domain mudah dan servis terbaik....  https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778    klik banner yang kami beri ini...   Testim...

Catatan Paling Popular