PETALING JAYA - Polis mematahkan sindiket pelacuran yang berselindung disebalik rumah urut di empat buah premis di Dataran Mentari dan Kota Damansara, awal pagi semalam.
Seramai 27 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks ditahan dalam serbuan itu.
Serbuan dilakukan Bahagian Maksiat Bahagian Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang diketuai oleh Asisten Superitendan Yuzir Othman.
Yuzir berkata, operasi itu hasil intipan seminggu.
“Premis yang dipercayai beroperasi sejak empat bulan lalu itu menawarkan khidmat seks sebanyak RM120. Mereka turut menyediakan kerusi khas dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti seks.
“Kita menahan enam wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China, turut ditahan seorang lelaki warga China dipercayai penjaga premis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai 18 keping kondom di dalam mesin basuh di belakang premis.