PENGARAH muda, Syamsul Yusof kembali dengan
menghasilkan filem terbaharu berjudul Munafik, setelah hampir empat
tahun berehat daripada bidang perfileman.
Filem yang bakal ditayangkan pada 25 Februari ini tercetus di atas
sambutan luar biasa filem seram arahannya sebelum ini, Khurafat.
Bagaimanapun, kata Syamsul, filem seramnya kali ini diselitkan dengan
nilai-nilai agama yang menjadikan filemnya itu lebih bermoral.
"Ramai yang mengetahui saya seorang pengarah serba boleh dengan mengarahkan filem seram, komedi dan aksi.
"Namun saya selalu terfikir untuk menghasilkan filem seram yang bukan
sahaja mempunyai babak seram, malahan ada elemen keagamaan yang tinggi.
"Justeru Munafik adalah filem tepat untuk angkat elemen keagamaan dalam
sesebuah filem seram. Dan sering kali juga topik munafik menjadi
pilihan agamawan bercakap tentangnya di dalam sesebuah kuliah agama.
"Bagaimanapun, filem ini bukan mengajar orang tentang apa munafik
sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya memberi gambaran apa itu munafik,"
katanya kepada Zass.
Menurutnya, objektif menghasilkan filem Munafik adalah supaya filem
tersebut dikenang sebagai filem paling seram di negara ini dan akan
diingati sampai bila-bila.
"Filem seram yang baik bukan terletak pada keseraman sahaja tetapi
filem yang baik terletak pada jalan cerita dan dapat memberi kesan
kepada hati penonton," katanya.
Tambahnya, sebagai pengarah, antara cabaran menghasilkan filem tersebut
adalah dari segi pemilihan tajuk itu sendiri yang sangat berat baginya
serta memerlukan ilmu untuk menghasilkannya.
"Oleh kerana ini filem seram keagamaan, saya perlukan ilmu secukupnya.
Perlu banyak belajar dan ketika saya berehat daripada mengarah beberapa
tahun lalu, saya mendalami sendiri ilmu agama, tafsir al-Quran dan hadis
untuk dijadikan panduan dalam filem.
"Selain menjadi pengarah, saya sendiri menulis skrip filem dan memegang watak utama sebagai seorang ustaz.
"Jadi pemilihan ayat al-Quran untuk dijadikan dialog dan cabaran menghasilkan babak seram perlu saya tekankan.
"Menghasilkan babak seram itu penting untuk filem kini, kerana penonton
sudah muak dengan lambakan filem seram yang tidak penuhi pemikiran
mereka untuk lebih terkedepan bagi filem sedemikian.
"Justeru filem ini ada elemen seram, metafora dan keagamaan serta
kerohanian yang boleh dikenang sampai bila-bila di samping menyentuh
perasaan penonton," katanya.
Sebagai seorang Muslim juga, katanya, filem ini merupakan salah satu caranya mahu berkongsi ilmu dan teladan dengan masyarakat.
"Pada saya, semua orang Muslim di muka bumi ini ada tanggungjawab untuk berdakwah.
"Oleh kerana saya seorang Muslim yang menjadi pengarah filem, justeru
tugas saya dapat memberi sedikit dakwah kecil melalui filem ini selain
untuk berhibur.
"Filem ini menggerakkan hati kita sejauh mana keimanan kepada Tuhan dan
terima segala ketentuan ALLAH. Harap filem akan memberi teladan kepada
semua.
"Saya mahu penonton tahu serba sedikit apa itu munafik dalam Islam dan
syaitan boleh merosakkan akal fikiran tidak kira alim ulama atau sesiapa
sahaja," katanya.
Lakonan hebat Nabila
Dibintangi Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, A Galak dan Datuk
Rahim Razali, Syamsul berkata, kesemua pelakon adalah pilihannya sendiri
dan dia sangat berpuas hati dengan lakonan yang diberikan.
"Lakonan Nabila Huda yang memegang watak sebagai Maria sangat baik dan
saya boleh rasakan dia akan tercalon untuk anugerah pelakon wanita
terbaik pada anugerah akan datang kerana ketika di set penggambaran,
sepenuhnya dia memberikan komitmen.
"Bukan sahaja di set tetapi ketika suntingan filem, saya terkejut
dengan lakonannya terutama babak dirasuk jin, ada syot membuatkan saya
hampir menitiskan air mata.
"Pelakon Fizz Fairuz dan Pekin Ibrahim juga memuaskan hati saya dari
segi persembahan lakonan mereka. Mereka tahu objektif watak yang
diberikan. Dan lakonan mereka saya tidak pernah lihat pada filem lain.
"Begitu juga dengan lakonan pelakon veteran seperti A Galak dan Datuk
Rahim Razali. Walaupun mereka veteran, mereka menghormati saya sebagai
pengarah muda dan pada masa sama saya belajar banyak ilmu daripada
mereka," katanya.
Filem yang menelan belanja hampir RM2 juta ini melakukan penggambaran
pada Mac tahun lalu di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Janda
Baik.
Tempoh penggambarannya pula mengambil masa 45 hari walaupun sasaran awal hanya 35 hari.
Syamsul berkata, tempoh itu menjadi sedikit panjang kerana mahu
memberikan terbaik pada babak yang dilakukan demi memberi kepuasan
kepada penonton ketika menonton filem itu nanti.
"Saya mahu hasilkan babak yang lebih baik, jadi perlukan masa dari segi
sinematografi, fotografi serta mood seram dan babak yang tepat.
"Apa yang boleh saya katakan juga, banyak babak dalam filem ini belum pernah ada pada filem seram lain," jelasnya.
Munafik mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama
Adam lakonan Syamsul, tidak dapat menerima takdir apabila isterinya
meninggal dunia.
Adam melalui pelbagai pengalaman pelik apabila dipujuk untuk mengubati
seorang wanita bernama Maria lakonan Nabila Huda yang diganggu syaitan.
Cabaran di rumah usang
Secara jujurnya, kata Syamsul, mereka tidak mengalami gangguan yang
teruk sepanjang menjalani penggambaran walaupun filem itu filem seram.
"Memang banyak babak kami buat di lokasi agak seram terutama di bilik
mayat, rumah usang dan tanah perkuburan. Selain ada heret mayat dari
kubur, tetapi Alhamdulillah kita menjaga adab yang sepatutnya dan tidak
ada perkara pelik berlaku.
"Hanya ada satu ketika pada akhir penggambaran iaitu di rumah usang,
kami terpaksa mengulang banyak kali penggambaran apabila kamera tidak
fokus pada lakonan saya.
"Perkara itu amat pelik berlaku, tetapi atas nasihat ustaz yang
mengiringi penggambaran kami dengan membaca sedikit ayat al-Quran dan
doa, akhirnya kami berjaya mengambil syot yang sempurna.
"Itu sahaja pengalaman yang agak pelik ketika di set penggambaran, yang lain Alhamdulillah berjalan lancar," katanya.
Syamsul turut mengakui yang dia ada mendapatkan nasihat dan rujukan
daripada agamawan termasuk beberapa mufti untuk menghasilkan filem
tersebut.
"Saya sendiri rujuk dengan pakar ilmuwan agama, rujuk ustaz dan mufti
tentang pemahaman saya dalam agama terutama konteks munafik.
"Tajuk filem ini memang berat, jadi saya perlukan ilmu secukupnya.
Lembaga Penapisan Filem juga ada memanggil pihak Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) ketika menilai filem ini.
"Alhamdulillah tiada babak penting dipotong, hanya beberapa dialog kecil sahaja dipotong dan mendapat tayangan PG13," katanya.
Sinar Harian Online