HIDAYAH itu milik ALLAH, DIA akan beri kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki, itulah yang berlaku terhadap Isacc.
Isacc memeluk Islam sejak empat tahun lalu lantas menukar namanya kepada Ishaq Mustaqim, 30-an.
Isacc yang dilahirkan di Montreal, Kanada dibesarkan dalam keluarga
yang berpecah belah, yang mana ayahnya berasal dari Haiti dan emaknya
berasal dari Switzerland.
Dia dibesarkan secara berseorangan oleh ibunya dan wajah ayahnya
langsung tidak pernah muncul dalam ingatannya, kerana sejak dari kecil
ayahnya telah hilang.
Hidup mewah
Menjejak dewasa, hidupnya penuh dengan nikmat dunia.
Bayangkan selama sepuluh tahun hidupnya dilimpahi dengan kemahsyuran
dan kemewahan, tidur bertilamkan duit, ada kuasa dan penghormatan,
baginya sebut sahaja jenama kereta mewah BMW, Porshe, Viper, Hummer,
Jaguar, Mercedes Benz, Cadilac dan semuanya sudah dia miliki.
Rumah? Sebut sahaja jenis yang bagaimana semuanya telah dia miliki.
Pernah satu ketika dek kerana ingin mencuba kelainan dia berpindah
randah dari satu hotel ke satu hotel, di mana harga untuk seminggu dia
menginap memakan belanja AS$10,000 seminggu, serta membelanjakan
USD340,000 untuk membeli pakaian hanya untuk berparti di kelab
eksklusif.
Hidup mewahnya itu adalah hasil daripada kerjayanya iaitu seorang
penjenayah, katanya semua cara jahat dilakukannya asalkan dia berjaya
menjadi seorang jutawan.
Selepas sepuluh tahun menjalani hidup sebegitu, dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah.
Kemudian menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan di Kanada.