BARCELONA (Barca) meletakkan bayaran 222 juta Euro atau 198 juta pound (RM1.1 bilion) jika pasukan Paris St-Germain (PSG) betul-betul mahukan Neymar.

Ketika ini, Barca membenarkan pemain bola sepak berprofilik berkenaan 'tidak berlatih' dan 'fikir tentang masa depannya' selepas beliau menyuarakan hasrat untuk meninggalkan kelab Sepanyol berkenaan, awal hari ini.

Laporan BBC mengatakan PSG didakwa sudah bersedia untuk membayar perpindahan pemain berusia 25 tahun berkenaan.

Neymar yang berasal dari kelab Brazil Santos berpindah ke Barca pada 2013 dengan bayaran 48.6 juta pound dan mengikat kontrak selama lima tahun bersama Barca pada 2016.

Baru-baru ini, wakil Neymar, Wagner Ribeiro memuatnaik tweet mengatakan sebuah kelab Perancis menawarkan Neymar bayaran 650,000 pound (RM3.6 juta) pada tahun lepas.
Wagner juga mendedahkan Neymar 'hampir berpindah ke Manchester United'.

Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu pula menegaskan Neymar akan bersama kelab berkenaan setiap kali khabar angin perpindahan Neymar tersebar.

Setakat ini, Neymar sudah mencetak 105 gol untuk Barca, sekali gus membantu kelab berkenaan memenangi dua gelaran liga, tiga piala Copas del Rey dan sebuah piala Liga Juara-juara.

Sinar Harian Online