Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Catatan Popular Minggu Lepas

Selasa, 29 Ogos 2017

Harga teh 0 kekal 20 sen

Harga teh 0 kekal 20 sen

GONG BADAK - Sama seperti di awal pembukaannya 23 tahun lalu, Warung Pok Hassan yang beroperasi seawal jam 7 pagi hingga 4 petang masih kekal menjual teh 0 dengan harga 20 sen.
Justeru, tidak hairanlah warung yang terletak di laluan utama Gong Badak ini sering menjadi tumpuan pelanggan yang ingin mencuba minuman dengan harga yang murah itu.
Malah, warung keluarga itu cukup dikenali penduduk setempat, selain kebanyakan pelanggan merupakan pengunjung tetap.
Menurut Muhamad Ridhuan Mohd Hassan, 36, langkah untuk mengekalkan harga 20 sen bagi teh 0 itu dibuat atas amanah Allahyarham bapanya, Mohd Hassan Yunus yang juga pelopor warung berkenaan.
“Saya mula ambil alih warung ini pada 1998 dengan dibantu ibu, Semah Jusoh serta adik beradik lain dan ketika diberi tanggungjawab meneruskan legasi keluarga, ayah sempat berpesan untuk tidak menaikkan harga.
“Selain untuk mencari rezeki, kita juga perlu beramal dan dengan menawarkan harga yang murah inilah kami bersedekah memandangkan kebanyakan pelanggan adalah terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.
Warung Pok Hassan yang terletak di laluan utama Gong Badak.
“Kami juga tidak ingin membebankan pelanggan dengan meletakkan harga mahal dan harga kerap berubah setiap kali berlakunya kenaikan harga barang. Alhamdulillah, walaupun untung kami tak banyak, namun rezeki itu diperoleh melalui jumlah pelanggan yang ramai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

50 gelas terjual setiap hari

Menurut Muhamad Ridhuan lagi, secara purata setiap hari kira-kira 50 gelas teh 0 dijual, selain minuman lain yang turut ditawarkan dengan harga lebih murah berbanding tempat lain.
Ditanya mengenai bagaimana mereka menguruskan jualan dengan kenaikan harga barangan yang semakin menghimpit kebanyakan peniaga lain, jelas Muhamad Ridhuan mereka mempunyai cara tersendiri bagi mengelak pelanggan lari.
“Kalau hendak dikira, untung yang diterima mungkin tidak banyak jika dibandingkan dengan peniaga lain, namun kerugian dapat diatasi dengan kuantiti jualan.
“Rata-rata pelanggan yang datang juga memilih teh 0 berbanding minuman yang lain,” katanya yang turut menjual makanan lain seperi nasi minyak, nasi lemak, kuih-muih dan sebagainya dengan harga bajet.
Muhamad Ridhuan juga menaruh harapan yang tinggi untuk memajukan lagi warung milik keluarga itu, selain memastikan harga minuman dan makanan lain munasabah, namun lebih utama teh 0 kekal dengan harga 20 sen.
Pengunjung melihat senarai harga minuman lain di warung berkenaan.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Yahya Ismail, 54, warung berkenaan menjadi tempat sarapan pagi sejak lebih 10 tahun lalu.
“Selain harga 20 sen bagi teh 0, makanan di sini juga sedap serta dijual dengan harga yang berpatutan.
“Setiap pagi jika tiada halangan atau perkara lain, saya akan datang untuk menikmati sarapan pagi sebelum ke tempat kerja,” katanya yang merupakan pekerja kontrak pembersihan.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAK ANDA UNTUK KOMEN

Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...

Nak beli domain mudah dan servis terbaik....  https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778    klik banner yang kami beri ini...   Testim...

Catatan Paling Popular