Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Catatan Popular Minggu Lepas

Memaparkan catatan dengan label Berita BlogPopular. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita BlogPopular. Papar semua catatan

Isnin, 17 September 2018

Main kutu satu kesalahan - JSJK

KUALA LUMPUR: Main kutu adalah satu kesalahan dan pesalah boleh didenda tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), melalui laman Facebook (Fb) Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, memaklumkan terdapat beberapa kes apabila penganjur atau ‘ibu kutu’ yang menghilangkan diri bersama wang yang dibayar pelabur atau peserta.
“Di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu.
“Mana-mana orang untuk menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan itu melakukan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” menurut makluman itu.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati jika menyertai mana-mana kutu kerana selain melanggar undang-undang, ia juga berisiko untuk ditipu.
“Tetapi, jika ibu kutu lari (menghilangkan diri), anda tetap boleh membuat laporan polis di balai berhampiran dan kebiasaannya kes ini akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disiasat,” katanya.
Akhbar NSTP sebelum ini juga pernah melaporkan beberapa kejadian mangsa ditipu ibu kutu terutama membabitkan pakej umrah yang ditawarkan syarikat tertentu dengan tawaran menarik.
Pada 3 Jun lalu, sembilan wanita di Segamat, Johor, dilaporkan kerugian ribuan ringgit selepas diperdaya ibu kutu berusia 30-an yang melarikan wang pelaburan mereka.
Mangsa yang sebahagian besar adalah suri rumah, mendakwa melabur RM200 hingga RM4,500 bagi mendapatkan pulangan berkali ganda seperti dijanjikan ibu kutu yang juga seorang wanita.
www.bharian.com.my

Jumaat, 22 Jun 2018

Maya Matahari bertudung berkat Ramadan


Pelakon dan penyanyi Maya Matahari berharap dirinya terus beristiqamah untuk menutup aurat seperti dituntut dalam Islam.
Maya yang mula mengenakan tudung sejak awal Ramadan lalu juga berdoa segala urusan untuk memelihara imej seperti seorang wanita Muslimah dipermudahkan.

“Sebenarnya, sudah lama saya cuba memakai tudung, tetapi tidak kekal. Bagaimanapun pada Ramadan lalu, keinginan itu seperti dipermudahkan.
“Saya sendiri selesa dengan imej baharu ini. Bahkan, jika hendak keluar ke kawasan berdekatan rumah sekalipun, saya tetap ingin bertudung atau berselendang,” katanya seperti dilapor BH Online.

Pelakon filem Gemerlapan itu mendedahkan dia mula terbuka hati untuk bertudung sepenuhnya sewaktu pulang meraikan perayaan Aidilfitri di Johor Bahru, baru-baru ini.

Tempah baju lebih sopan

“Pada pagi raya, saya jadi sangat teruja kerana bukan sekadar menggosok baju, sebaliknya tudung untuk digayakan juga.

“Selama ini, saya banyak membeli dan mengumpul tudung daripada pelbagai rekaan. Jadi, ia bukanlah satu masalah. Saya juga mula menempah baju yang lebih sopan dan tidak mendedahkan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan terbaru, pemilik nama sebenar Meyanaliza Ruslee itu bakal melancarkan single berkonsep pop, Perlu Ada Setia, hasil ciptaan Tam Spider dan lirik tulisan Iman Imran.

Kata Maya yang popular dengan lagu Matahari dan Diari Biru itu bertudung tidak menjadi penghalang untuknya meneruskan kerjaya sebagai anak seni.

“Kita dapat lihat, mereka yang berhijab pun boleh menyanyi hip hop.
“Selagi kita pandai membawa diri, insya-Allah semuanya baik-baik saja,” ujarnya.

malaysiakini

Sabtu, 12 Mei 2018

Selebriti tempatan luah perasaan untuk Tun Mahathir

Selebriti tempatan luah perasaan untuk Mahathir

BEBERAPA selebriti tanah air turut meluahkan perasaan mereka di atas kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14.  
Bertitik tolak kemenangan Harapan semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi mandat untuk  menjadi perdana menteri ke tujuh yang dijangka mengangkat sumpah dalam tempoh yang akan diumumkan kelak.
Golongan artis berkenaan menyatakan rasa syukur atas kejayaan Mahathir itu menerusi  laman Instagram masing-masing
Antaranya pelakon jelita Emma Maembong yang menulis status di Instagram miliknya dengan mengatakan bekas perdana menteri itu membuktikan strateginya menyertai Pakatan Harapan adalah terbukti benar.
"Tun telah membuktikan strategi beliau menyertai PH adalah tepat seperti yang telah dirancang. Kejayaan ini adalah untuk generasi sekarang dan akan datang. Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan," tulis Emma dipetik dari Instagram miliknya.
Pelakon Hairul Azreen pula memuat naik video kenangan pertemuan kali pertama dengan Mahathir ketika sedang bercuti di London pada 2016.
"We love you Tun Mahathir. Terima kasih Tun @chedetofficial. Video ni 23 September 2016. London.
"Tarikh yang saya tak akan lupa. Idola saya selamanya. Tun contoh terbaik untuk saya. #TheBestNeverRest," tulis Hairul yang juga suami kepada artis jelita Hanis Zalikha.
Selain mereka, antara selebriti tempatan yang juga berkongsi perasaan adalah penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Sheila Majid dan Siti Sarah.

Sinar Harian Online

Rabu, 2 Mei 2018

Ustaz Nik Omar buat sokongan Wardina naik 100 peratus

Kemunculan Nik Omar Nik Abdul Aziz di pusat penamaan calon bagi DUN Chempaka semalam ternyata mengejutkan ramai orang.
Ramai memberi tanggapan sendiri berhubung langkah anak kedua bekas mursyidul am PAS itu bertanding bawah tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) - baik positif mahupun negatif.
Ia termasuk selebriti popular Wardina Safiyyah yang menyambut baik langkah Nik Omar itu.
Baginya, penyertaan beliau menambah lagi barisan pemimpin berkebolehan dalam HARAPAN dan  seterusnya menguatkan lagi sokongannya terhadap gabungan pembangkang itu.
"Dengan ramainya mereka yang berintelek, berwibawa dan ikhlas berjuang, kepercayaan saya kepada HARAPAN naik lagi seratus peratus...sebak pun ada.
"Terima kasih ustaz atas keputusan yang tidak mudah ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu dikongsikan pagi ini dan turut disertakan dengan gambar Nik Omar sebagai calon HARAPAN.
Wardina sebelum ini sering berkongsi pandangannya tentang beberapa calon dalam PRU ke-14, antaranya calon BN bagi Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan - paling menonjol - calon HARAPAN bagi Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.
Dia berharap calon HARAPAN seperti Nik Omar dan Maszlee ini dapat memberi nasihat kepada pemimpin lain dalam gabungan itu jika melakukan kesalahan pada masa akan datang.
"Kepada pemimpin HARAPAN, jangan dirobek dan hampakan kami. Pimpinlah Malaysia seadil, semaju dan sebaiknya untuk semua dan perbaiki kepincangan sistem dan bebaskan negara daripada tamak haloba dan tipu daya," katanya.
Tak terima hujah mimpi
Dalam hantaran sama, Wardina juga menegur reaksi penyokong dan pemimpin PAS dalam menanggapi keputusan Nik Omar.
"Mungkin wajar duduk seketika dan bertanya mengapa ia terjadi. Pernah tanya insan-insan hebat ini...Ada sebab kenapa mereka memilih HARAPAN. Mereka bukan bodoh dan tiada agama.
"Saya tak boleh terima hujah mimpi," katanya dipercayai merujuk kenyataan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang rakamannya disebarkan di media sosial semalam.
Dalam ucapannya selepas penamaan calon, naib presiden PAS itu menceritakan kembali perbincangannya dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang calon PAS khususnya di Parlimen Pengkalan Chepa.

Menurutnya, Hadi menceritakan dirinya bermimpi bertemu Nik Aziz yang hanya memiliki sebelah kaki dan ditolak orang sehingga hampir rebah.
"Hari ini kita nampak (makna) mimpi itu. Orang yang lawan kita datang dari sebelah kaki (Nik Aziz) yang tiada," katanya.
DUN Chempaka yang ditandingi Nik Omar terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa.
"Kita kena jaga Pengkalan Chepa ini macam mana sekalipun, walau orang yang melawan kita (anggota) keluarga Tok Guru (Nik Aziz), kita letak sokongan kita pada perjuangan Islam," katanya lagi.
Malaysiakini

Khamis, 25 Januari 2018

Jam tangan pintar paling mahal

Jam tangan pintar paling mahal

BAGI peminat jam tangan pintar, koleksi baharu TAG Heuer, Connected Modular 45 Full Diamond, pastinya mencuri tumpuan. Sementelah ia muncul sebagai jam tangan pintar yang paling mahal di dunia dengan harganya RM778,000.

Koleksi baharu Tag Heuer ini diperbuat daripada emas putih dan ditatah dengan 589 butir permata yang bersamaan dengan 23.35 carat.

Dari segi spesifikasi jam tangan Android Wear 2.0 ini dilengkapi skrin 1.39' AMOLED, dijana pemproses Intel Atom Z34XX, memori sebesar 512, storan sebesar 4 GB  dan bateri sebesar 325 mAh.

Selain menggunakan sistem Android Wear, jam tangan ini juga menggunakan modul mekanisme mekanikal Calibre 5 dan boleh ditukar secara modular.

Sinar Harian Online

Jumaat, 22 Disember 2017

128 negara tolak iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

128 negara tolak iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mencatat undian 128 negara menyokong usul menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Manakala sembilan lagi menentang usul tersebut.

Memetik laporan Reuters, dalam pada itu, sebanyak 35 negara lain berkecuali dalam undian berkenaan.

Terdahulu, Presiden Donald Trump mengeluarkan ugutan akan bertindak balas terhadap negara yang menyokong langkah itu.
Trump mengancam memotong bantuan kewangan kepada negara yang mengundi menyokong undian terbabit.
Negara yang mengundi memihak kepada resolusi

A: Afghanistan, Albania, Algeria, Andorra, Angola, Armenia, Austria, Azerbaijan
B: Bahrain, Bangladesh, Barbados, Belarus, Belgium, Belize, Bolivia, Botswana, Brazil, Brunei, Bulgaria, Burkina Faso, Burundi
C: Cabo Verde, Cambodia, Chad, Chile, China, Comoros, Congo, Costa Rica, Cote d'Ivoire, Cuba, Cyprus, Democratic People's Republic of Korea (North Korea), Denmark, Djibouti, Dominica
E: Ecuador, Egypt, Eritrea, Estonia, Ethiopia
F: Finland, France
G: Gabon, Gambia, Germany, Ghana, Greece, Grenada, Guinea, Guyana
I: Iceland, India, Indonesia, Iran, Iraq, Ireland, Italy
J: Japan, Jordan
K: Kazakhstan, Kuwait, Kyrgyzstan
L: Laos, Lebanon, Liberia, Libya, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg
M:Madagascar, Malaysia, Maldives, Mali, Malta, Mauritania, Mauritius, Monaco, Montenegro, Morocco, Mozambique
N: Namibia, Nepal, Netherlands, New Zealand, Nicaragua, Niger, Nigeria, Norway
O: Oman
P: Pakistan, Papua New Guinea, Peru, Portugal
Q: Qatar
R: Republic of Korea (South Korea), Russia
S: Saint Vincent and the Grenadines, Saudi Arabia, Senegal, Serbia, Seychelles, Singapore, Slovakia, Sloveni, Somalia, South Africa, Spain, Sri Lanka, Sudan, Suriname, Sweden, Switzerland, Syria
T: Tajikistan, Thailand, The Former Yugoslav Republic of Macedonia, Tunisia, Turkey
U: United Arab Emirates, United Kingdom, United Republic of Tanzania, Uruguay, Uzbekistan
V: Venezuela, Vietnam
Y: Yemen
Z: Zimbabwe

Negara yang mengundi resolusi

G: Guatemala
H: Honduras
I: Israel
M: Marshall Islands, Micronesia
N: Nauru
P: Palau
T: Togo
U: United States

Negara yang tidak mengundi

A: Antigua-Barbuda, Argentina, Australia
B: Bahamas, Benin, Bhutan, Bosnia-Herzegovina
C: Cameroon, Canada, Colombia, Croatia, Czech Republic
D: Dominican Republic
E: Equatorial Guinea
F: Fiji
H: Haiti, Hungary
J: Jamaica
K: Kiribati
L: Latvia, Lesotho
M:  Malawi, Mexico
P: Panama, Paraguay, Philippines, Poland
R: Romania, Rwanda
S: Solomon Islands, South Sudan
T: Trinidad-Tobago, Tuvalu
U: Uganda
V: Vanuatu

Sinar Harian Online


Sabtu, 18 November 2017

Durian mampu kuatkan tenaga batin golongan lelaki?

Durian mampu kuatkan tenaga batin golongan lelaki?

DURIAN mampu menguatkan tenaga batin golongan lelaki? Cerita mengenai durian yang dikatakan memberikan kebaikan untuk kesihatan lelaki mendapat perhatian selepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberikan kenyataan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Menurut Ahmad Shabery, kerajaan akan membuat kajian khasiat durian terhadap golongan lelaki.
"Ada kajian durian ini mempunyai unsur baik untuk lelaki dan kita akan beri badan berkaitan buat kajian lebih mengenai hal ini,” katanya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Namun, seorang tabib Cina yang berpengalaman memberitahu China Press, dia tidak percaya 'raja buah' itu boleh memberikan apa-apa kelebihan kepada golongan lelaki, terutama dari segi tenaga batin.

"Makanan semula jadi seperti durian selama ini terbukti memang tidak ada apa-apa fungsi untuk kesihatan lelaki.
"Durian adalah sejenis buah-buahan yang mempunyai kandungan glukosa tinggi dan  boleh menaikkan kadar gula darah pesakit kencing manis," katanya.

Justeru, dia menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya kelebihan durian itu kerana belum ada kajian sains yang boleh membuktikan ia mampu merangsang dan menguatkan tenaga batin lelaki.

Sinar Harian Online

Khamis, 3 Ogos 2017

RM1 bilion tunai kalau mahu Neymar!

RM1 bilion tunai kalau mahu Neymar!
Neymar. - Foto sumber EPA/BBC Sport
    BARCELONA (Barca) meletakkan bayaran 222 juta Euro atau 198 juta pound (RM1.1 bilion) jika pasukan Paris St-Germain (PSG) betul-betul mahukan Neymar.

    Ketika ini, Barca membenarkan pemain bola sepak berprofilik berkenaan 'tidak berlatih' dan 'fikir tentang masa depannya' selepas beliau menyuarakan hasrat untuk meninggalkan kelab Sepanyol berkenaan, awal hari ini.

    Laporan BBC mengatakan PSG didakwa sudah bersedia untuk membayar perpindahan pemain berusia 25 tahun berkenaan.

    Neymar yang berasal dari kelab Brazil Santos berpindah ke Barca pada 2013 dengan bayaran 48.6 juta pound dan mengikat kontrak selama lima tahun bersama Barca pada 2016.

    Baru-baru ini, wakil Neymar, Wagner Ribeiro memuatnaik tweet mengatakan sebuah kelab Perancis menawarkan Neymar bayaran 650,000 pound (RM3.6 juta) pada tahun lepas.
    Wagner juga mendedahkan Neymar 'hampir berpindah ke Manchester United'.

    Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu pula menegaskan Neymar akan bersama kelab berkenaan setiap kali khabar angin perpindahan Neymar tersebar.

    Setakat ini, Neymar sudah mencetak 105 gol untuk Barca, sekali gus membantu kelab berkenaan memenangi dua gelaran liga, tiga piala Copas del Rey dan sebuah piala Liga Juara-juara.

    Sinar Harian Online

    Rabu, 31 Mei 2017

    20,000 rakyat M'sia mati akibat penyakit berkaitan rokok

    Kira-kira 20,000 rakyat negara ini dianggarkan mati akibat penyakit berkaitan merokok setiap tahun dan keadaan itu membimbangkan berikutan bilangan perokok dijangka semakin meningkat, kata Naib Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader.
    Beliau berkata tembakau terus menjadi penyebab utama terbesar dunia yang menyumbang kepada kematian tahunan.
    "Jika mereka semua merokok sekotak 20 batang setiap hari, rakyat Malaysia telah merokok 4.6 juta batang rokok sehari dan bayangkan kesannya ke atas ekonomi keluarga dan negara," katanya pada sidang media bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia di George Town, hari ini.
    Mohideen berkata purata perbelanjaan rokok bagi setiap perokok dianggarkan RM178.8 sebulan dan jumlah itu memberikan impak besar dalam perbelanjaan sesebuah isi rumah.

    Katanya, penggunaan rokok elektronik atau vape juga patut dihentikan dan kerajaan perlu berpendirian lebih tegas dengan mengambil langkah mengharamkan vape.
    "Walaupun ada hujah mengatakan bahawa rokok elektronik membantu perokok berhenti merokok, ia juga menggalakkan mereka untuk merokok menggunakan peranti ini dengan kepercayaan bahawa ia kurang berbahaya," katanya.
    - Bernama

    Sabtu, 13 Mei 2017

    Makanan Malaysia mula popular di Jakarta

    Makanan Malaysia
    Gambar hiasan. - Foto Tourism Malaysia


    JAKARTA  - Kepelbagaian makanan tradisional yang dimiliki Malaysia dilihat mampu menjadi daya tarikan pelancong Indonesia apabila sajian makanan pelbagai kaum di Malaysia semakin popular di restoran dan hotel-hotel di ibu negara ini.

    Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, promosi makanan Malaysia di Indonesia itu akan menjadi satu nilai tambah baharu untuk para pelancong negara ini menikmati percutian mereka di Malaysia.

    Katanya, strategi memperkenalkan Malaysia sebagai 'syurga makanan' adalah pendekatan baharu untuk mempertingkatkan industri pelancongan negara kerana selain dari berkunjung ke tempat-tempat menarik dan membeli-belah, pelancong ke Malaysia juga akan mahu menikmati masakan khas sesebuah negara.

    "Makanan adalah produk yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan bagi menarik pelancong dari Indonesia memandangkan rakyat negara ini adalah antara yang paling ramai mengunjungi Malaysia," katanya ketika merasmikan Promosi Makanan Malaysia di sebuah hotel di Depok, kira-kira 60km dari sini, malam tadi.
    Beliau berkata, syarikat pelancongan domestik dan antarabangsa juga digesa menyediakan tawaran pakej percutian menarik berkaitan produk makanan dalam usaha menarik pelancong dalam dan luar negara.

    Sempena dengan promosi makanan Malaysia itu, Tourism Malaysia di Indonesia membawa beberapa chef dari Malaysia untuk menunjuk ajar masakan asli Malaysia kepada chef-chef hotel di Indonesia.
    Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata, Indonesia adalah negara kedua tertinggi jumlah pelancong yang mengunjungi Malaysia dan pihaknya sedang berusaha mempelbagaikan produk pelancongan di peringkat negeri-negeri.
    "Buat permulaan, kita menyediakan pakej-pakej pelancongan di negeri-negeri seperti makanan di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak dan kita akan perbanyakkan pakej ini dengan promosi makanan di seluruh negara," katanya.

    Beliau berkata, kerjasama mempromosi makanan itu dikendalikan secara bersama antara hotel-hotel di Indonesia dan Malaysia untuk membawa chef untuk memberi menu dan resepi masakan Malaysia itu.

    Sementara itu,  Timbalan Datuk Bandar Jakarta , Pradi Supriata berkata, promosi makanan Malaysia itu adalah sesuatu yang dikagumi kerana tidak ramai rakyat di ibu kota itu mengenali ​​​​​​​makanan Malaysai sebelum ini.
    Katanya, kerjasama antara chef Malaysia dengan chef Indonesia untuk bertukar ilmu masakan dan rahsia resepi adalah sesuatu yang luar biasa dan kerjasama itu harus diperluaskan di tahap latihan ​​​​​​​profesional.

    "Kita ingin melihat sesuatu yang lebih jauh dari itu iaitu meminta industri perhotelan Malaysia menerima pelajar dari kota ini untuk membuat latihan industri supaya mereka dapat mengembangkan ​​​​​​​ilmu di peringkat bertaraf antarabangsa," katanya. - Bernama

    Sabtu, 6 Mei 2017

    Kononnya dapat untung juta-juta

    Kononnya dapat untung juta-juta

    KOTA BHARU - Seorang surirumah merayu agar pihak berkuasa dapat melakukan siasatan segera bagi menuntut keadilan selepas mengalami kerugian RM175,000 ekoran ditipu sebuah syarikat pelaburan.

    Mangsa, Siti Zuraida Awang, 36, berkata, melalui pelaburan itu syarikat berkenaan yang diperkenalkan tiga kenalan rapatnya, menjanjikan imbuhan RM3.5 juta yang turut diyakinkan dengan dokumen kejayaan dan pulangan yang telah dirasai oleh kenalannya.
    Apabila melihat butiran syarikat yang ditunjukkan kenalannya itu dan pulangan yang diperolehi selain pengasasnya juga merupakan orang Melayu, Siti Zuraida mula percaya memandangkan syarikat itu juga didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    “Ekoran itu, saya turut mengeluarkan simpanan selain meminjam wang ibu dan ayah serta adik-beradik yang lain dan berjaya meyakinkan mereka bahawa skim pelaburan ini merupakan yang terbaik dan memberi pulangan modal yang banyak melalui jumlah modal yang dilaburkan," katanya.Siti Zuraida berkata, dia dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM3.5 juta hasil daripada pelaburan tersebut.

    Selain itu, mereka kata sebagai ahli, saya boleh mengeluarkan sebanyak 10 peratus iaitu kira-kira RM350, 000 daripada jumlah keseluruhan.

    "Namun, janji hanya tinggal janji apabila saya tidak mendapat sebarang keuntungan. Malah akaun saya di dalam syarikat itu telah dibekukan, kira-kira 80 ahli lain juga dipercayai gagal mendapatkan pulangan mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Bekas  penjawat awam itu juga berkata, syarikat tersebut mula membuat helah apabila memaklumkan untuk mendapatkan keuntungan tersebut mereka perlu mencari lebih ramai orang untuk melabur dengan pelaburan paling rendah RM4,500.

    "Keadaan ini membuatkan saya benar-benar tertekan kerana untuk mendapatkan modal tersebut saya telah menggadaikan barangan kemas, selain lima beradik serta ibu bapa turut menyumbangkan wang pelaburan.

    "Pihak syarikat kini hanya memulangkan wang kira-kira RM100,000 dan ini jauh lebih rendah daripada modal yang dikeluarkan saya. Melalui maklumat yang saya dapat kira-kira 80 ahli lain yang sama kumpulan dengan saya turut mengalami masalah sama," katanya.

    Menyedari dirinya telah ditipu, dia telah membuat dua laporan polis berhubung perkara tersebut selepas berasa dirinya diperdaya oleh syarikat tersebut yang mempunyai ribuan ahli di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

    "Saya amat berharap syarikat terbabit memulangkan wang pelaburan serta mengikuti perjanjian yang dijanjikan oleh mereka," katanya.

    Sinar Harian Online

    Isnin, 13 Mac 2017

    Cas tanpa wayar

    Cas tanpa wayar

    SISTEM pengecasan tanpa wayar di pasaran sekarang masih memerlukan sentuhan fizikal di antara peranti dan pad pengecasan. Ini membuatkan peranti tidak boleh digunakan ketika dicas.

    Bagaimanapun, dengan sistem pengecasan Motherbox yang dibangunkan oleh Arrow Electronic, ia mampu membawa perubahan dalam teknologi pengecasan peranti.

    Peranti yang menggunakan sistem Motherbox masih boleh dicas selagi ia berada dalam rangkuman Motherbox. Kuasa elektrik dihantar secara tanpa wayar kepada aksesori khas yang disambung pada peranti yang ingin dicas. Ini sama seperti sistem pengecasan tanpa wayar yang diuar-uarkan bakal digunakan pada model terkini iPhone tahun ini. Terdapat juga Motherbox Mini yang berfungsi sebagai powerbank 7000 mAh tanpa wayar.

    Motherbox menyokong pelbagai peranti Android dan iOS. Pengguna hanya perlu memasang plat khas yang diberikan untuk mengecas tanpa wayar. Sistem pengecasan yang inovatif ini sedang mengumpul dana menerusi Indiegogo dan boleh ditempah pada harga RM352.

    Sinar Harian Online

    Selasa, 20 Disember 2016

    Pegawai polis laung Allahuakbar selepas tembak mati duta Russia

    SEORANG lelaki yang juga merupakan anggota polis melaungkan kalimah 'Allahuakbar' selepas menembak mati seorang Duta Russia ke Turki. Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah galeri seni di Ankara, Turki.

    Andrey Karlov, 62 ditembak berulang kali pada jarak dekat oleh penembak yang kemudiannya melaungkan 'Allahuakbar' (Allah maha besar), 

    "Kami mati di Aleppo, kamu mati di sini! Jangan lupa Aleppo, jangan lupa tentang Syria!" Jeritnya, dalam bahasa Turki.

    Datuk Bandar Ankara mengesahkan bahawa penembak tersebut adalah seorang anggota polis, yang sepatutnya tidak bertugas. 

    Akaun twitter Twitter Untold memaklumkan bahawa pegawai polis itu bernama Mevlüt Mert Altintas berumur 22 tahun seorang pegawai polis anggota unit khas, dari Ankara.

    Pegawai Polis itu dilihat memang sudah berada di belakang Duta Russia tersebut dari awal dan dilihat sebagai anggota keselamatan yang tidak mengenakan pakaian seragam polis sepanjang beliau menyampaikan ucapan.



    Kredit : http://www.milosuam.net

    Jumaat, 4 November 2016

    Sekat segera lawan web tawar iklan seks

    LAMAN WEB TAWAR IKLAN SEKS

    Gambar hiasan
    KUALA LUMPUR - Kewujudan sebuah laman web yang mengiklankan perkhidmatan dan jualan barangan, dikesan turut menyelitkan iklan khidmat seks kepada komuniti di negara ini, perlu segera disekat.

    Tinjauan Bernama di laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mendapati ia mengandungi puluhan ribu gambar lucah termasuk melibatkan warga tempatan yang dapat diakses dengan mudah.

    Menerusi laman web itu, para pengiklan seks didapati memuat naik gambar termasuk gambar bogel dengan pelbagai aksi dipercayai untuk menarik pelanggan serta turut memberi maklumat peribadi termasuk nombor telefon dan alamat e-mel untuk dihubungi.

    Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Wikipedia, laman web berkenaan mula bertapak di Amerika Syarikat dan dipercayai sudah beroperasi kira-kira 20 tahun.

    Ia mempunyai lebih 200 juta anggota komuniti di seluruh dunia.

    Laman web itu turut menyenaraikan pelbagai kategori pilihan iklan seks seperti wanita mencari wanita, wanita mencari lelaki, lelaki mencari wanita, lelaki mencari lelaki atau percintaan pelbagai jenis.

    Seorang pengguna internet yang hanya mahu dikenali sebagai Fariz berkata, dia tidak pernah menjumpai mana-mana laman web yang menawarkan perkhidmatan jual beli barangan yang menyelitkan tawaran perkhidmatan seks termasuk hubungan sejenis.

    "Pertama kali saya membuka laman web itu, saya terkejut melihat satu ruangan di laman web tersebut menawarkan perkhidmatan hubungan seks sejenis. Ruangan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada ahli berbanding perkhidmatan lain.  

    "Lebih mengejutkan, terdapat juga ahli yang sanggup memuat naik gambar lucah dan bogel diri sendiri bagi mempromosikan diri. Perkara ini jarang terdapat di mana-mana laman web di internet," katanya kepada Bernama.

    Fariz berkata pekerja seks di laman web itu boleh dihubungi melalui nombor telefon yang ditinggalkan pada iklan yang dilengkapi gambar lucah mereka serta maklumat diri untuk melanggan khidmat mereka.

    Katanya kebebasan melayari laman web itu tanpa sekatan dikhuatiri akan  menyebabkan kegiatan tidak bermoral semakin berleluasa.

    Menurut Fariz, kategori iklan seks dalam laman web berkenaan perlu disekat bagi mengelak anggota masyarakat terutamanya golongan muda terjebak dalam aktiviti tidak sihat itu.
     
    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama berkata,‎ pihak polis akan menyiasat laman web berkenaan dan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membanteras laman web lucah di negara ini.

    "Kami akan bekerjasama dengan SKMM untuk mengesan operator laman web ini," katanya.
    Sementara itu, SKMM dalam kenyataan kepada Bernama berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak pentadbir laman sesawang itu untuk memastikan tiada pengiklanan perkhidmatan yang menyalahi undang-undang negara disiarkan di laman berkenaan.

    "Langkah ini diambil bagi memastikan tidak ada individu yang terjerat dengan aktiviti yang tidak bermoral itu," menurut kenyataan SKMM.

    Menurut kenyataan itu, SKMM akan meneliti terlebih dahulu inti pati kandungan laman web antarabangsa itu yang didakwa mengiklankan barangan dan turut mengambil peluang menawarkan khidmat seks di negara ini. - Bernama

    http://majalahbiz.blogspot.my/

    Jumaat, 2 September 2016

    Polis nafi UFO berlegar di Kuala Krai

    UFO
    Visual kapal angkasa yang diviralkan menerusi media sosial
    KOTA BHARU - Polis hari ini menafikan kononnya terdapat objek terbang yang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ruang angkasa Kuala Krai sepertimana diviralkan menerusi media sosial.
    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk kawasan berkenaan berhubung kejadian tersebut.

    "Video itu disebarkan oleh pihak tertentu tanpa mengetahui sebabnya," kata beliau ketika dihubungi di sini, malam tadi. Selain penyebaran video berdurasi 1 minit 25 saat menerusi media sosial itu, ia turut mengaitkan maklumat itu kononnya daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dengan meletakkan perkataan "BERNAMA".

    Berita yang diviralkan itu menyebut: "Penduduk Kuala Krai Kelantan dikejutkan dengan objek dipercayai U.F.O. berlegar-legar di ruang angkasa berhampiran pusat cembong batu nang.

    "Kejadian disaksikan dengan jelas oleh penduduk kampung selama beberapa minit sebelum objek tersebut hilang meninggalkan kawasan tersebut. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian berlaku.." - Bernama

    Sabtu, 27 Ogos 2016

    Gempar penumpang tak pakai seluar

    Gempar penumpang tak pakai seluar
    Foto yang viral di laman forum Reddit, pada Ahad.

    FOTO seorang penumpang wanita yang tidak memakai seluar ketika sedang berurusan di kaunter syarikat penerbangan Virgin America mengejutkan orang ramai.

    Pelayar laman forum Reddit, Deftones1 yang memuat naik foto tersebut pada Ahad menimbulkan persoalan sama ada sistem penghawa dingin di lapangan tersebut rosak dan menyebabkan penumpang kepanasan.

    Pelayar lain juga menyedari beberapa kipas telah diletakkan menghala ke arah penjaga kaunter Virgin America.

    Kejadian dipercayai berlaku di sebuah lapangan terbang di California, Amerika Syarikat baru-baru ini.

    Beberapa bulan lepas, kejadian hampir serupa berlaku apabila seorang guru wanita membuka skirtnya ketika pemeriksaan dijalankan anggota keselamatan di lapangan terbang di Stanstead, London.

    Wanita tersebut bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati selepas dituduh membawa dadah.

    Kredit : Sinar Harian Online

    Isnin, 8 Ogos 2016

    Guru wanita jalin hubungan seks dengan murid 'hampir setiap hari'

    Guru wanita jalin hubungan seks dengan murid 'hampir setiap hari'
    Vera, 24, mendakwa hubungannya dengan pelajar 13 tahun itu bukan sahaja direstui tetapi dirai ibu bapa pelajar tersebut. - Foto The Washington Post



    ALEXANDRIA M. Vera, seorang guru wanita mengajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah Stovall di Houston, Texas ditahan pihak berkuasa pada Rabu atas tuduhan jenayah penderaan seksual berterusan ke atas salah seorang anak muridnya yang berusia bawah 14 tahun.

    Pihak polis mengambil masa dua bulan menyiasat kes berkenaan dan penangkapan Vera, 24, dibuat hanya selepas lapan bulan dia menjalinkan hubungan seks dengan murid gred lapan itu.

    Menurut laporan, Vera pada April memberitahu bahawa hubungannya dengan lelaki yang berusia 13 tahun itu bermula melalui mesej di Instagram – dan telah berkembang menjadi cinta.

    Vera ditahan di penjara sementara di Montgomery County dengan ikat jamin USD$100,000 (RM410,000), lapor Associated Press.

    Dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah Harris memberi gambaran terperinci dari segi hubungan cinta mereka yang dikatakan bukan sahaja direstui tetapi dirai ibu bapa murid terbabit.

    Pengetua sekolah itu, Elsa Wright, hanya menerima maklumat tentang Vera pada April lalu, dan aduan telah dibuat kepada jabatan polis sekolah berkenaan sebelum siasatan dimulakan.

    Dokumen mahkamah juga menunjukkan Vera tidak menafikan hubungannya, malah mengakui perkara berkenaan di hadapan pengetuanya dan seorang anggota polis.

    Vera turut mengakui mengadakan hubungan seks 'hampir setiap hari' dengan anak muridnya itu sehingga menyebabkan dia hamil.

    Dia kemudian bertemu ibu bapa murid terbabit, dan mereka dilaporkan menerima berita (hamil) dan hubungan itu dengan hati terbuka.

    Namun, pada Februari kandungan tersebut digugurkan kerana Vera mula disoal siasat oleh Badan Perlindungan Kanak-kanak.

    Dalam soal siasat berasingan oleh polis, murid berkenaan turut mengakui menjalankan hubungan seks dengan gurunya itu.

    Polis berkata, mereka menemui banyak mesej antara lelaki tersebut dan gurunya, sekaligus mengesahkan apa yang telah diceritakan Vera.

    Pejabat Guam Bela Harris County memberitahu ABC News 13 bahawa ibu bapa murid berkenaan boleh didakwa atas kesalahan gagal melaporkan penderaan kanak-kanak jika sah mereka mengetahui mengenai hubungan tersebut. 
    Ibu murid terbabit kini sedang disiasat oleh Badan Perlindungan Kanak-kanak.

    astro awani

    Selasa, 28 Jun 2016

    Video ancaman IS sekadar propaganda

    Video ancaman IS sekadar propaganda

    SHAH ALAM - Penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim membuat kesimpulan bahawa video yang disebarkan anggota IS yang melaungkan amaran ‘mengegarkan’ Bukit Aman sekadar propaganda dengan tujuan mendapatkan pengaruh dan memancing penyertaan baharu.

    Menurutnya, tujuan utama video berunsur ugutan mengancam keselamatan negara ialah menyatakan doktrin mereka kononnya gerakan diperjuangkan itu hebat sekali gus berjaya memikat ahli baharu.

    “Ugutan dilaungkan itu bertujuan mendapatkan pengaruh di kalangan ahli-ahli dan individu cenderung perjuangan ekstremis.

    “Video ugutan itu bukan bertujuan mengancam atau mengugut, sebaliknya lebih kepada merekrut ahli baharu menyertai kumpulan IS itu, bagi menunjukkan mereka memang berani dan berkuasa,” katanya.

    Bagaimanapun, Kamal Affendi mengingatkan supaya pihak polis dan anggota keselamatan lain mengambil serius ugutan berkenaan meskipun ia helah kumpulan IS.

    “Memang kelaziman kumpulan pelampau membuat ugutan sedemikian tapi kita tahu pelampau IS itu tidak berada di Malaysia ketika serangan dibuat, jika benar situasi itu berlaku,” katanya.

    Baru-baru ini negara digemparkan video pelampau IS dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin mengugut serang Bukit Aman.

    Kredit : Sinar Harian

    Selasa, 21 Jun 2016

    142 kes ugut sebar gambar, video dilapor

    142 kes ugut sebar gambar, video dilapor

    KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 403 aduan daripada masyarakat awam berhubung kes yang melibatkan kesalahan jelik dan ugutan antara Jan hingga Mei tahun ini.

    Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari memberitahu persidangan Dewan Negara hari ini bahawa daripada jumlah itu, sebanyak 142 aduan berkait dengan ugutan penyebaran gambar dan video peribadi mangsa telah dipanjangkan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, kesalahan melibatkan jenayah peras ugut atau mendedahkan maklumat individu bagi tujuan balas dendam adalah di bawah bidang kuasa PDRM, namun pihak SKMM sentiasa bekerjasama dengan pihak PDRM dalam membanteras jenayah peras ugut di media sosial.

    "Ia meliputi aspek-aspek kerjasama pemantauan, pengesanan, perkongsian maklumat dan juga aspek forensik digital," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Koh Chin Han berhubung perkara itu.  

    Jailani berkata pada masa yang sama, SKMM sentiasa menjalankan program kesedaran dan pendidikan bagi memupuk budaya kepenggunan media secara bijak agar pengguna media baharu tidak terjerat dengan jenayah berkenaan. 

    Setakat ini, pengguna internet di dalam negara berjumlah 20.1 juta orang, manakala 16.8 juta daripada jumlah itu adalah pengguna aktif di media sosial. - Bernama

    Khamis, 9 Jun 2016

    11 juta tonton video klip Sudah Ku Tahu

    11 juta tonton video klip Sudah Ku Tahu


    NAMA Projector Band sudah tidak asing lagi. Dengan lagu ‘berhantu’ mereka, Sudah Ku Tahu, ia bagaikan menjadi fenomena apabila tidak hanya di bilik-bilik karaoke malah turut menjadi perhatian peminat lagu itu untuk menyanyi di laman sosial YouTube.

    Klip video rasmi dengan lirik ini sudah ditonton 11,171,853 sejak dimuat naik pada 18 Februari lalu.
    Nampaknya, ramai peminat lagu ini turut berkaraoke menggunakan laman sosial YouTube.

    Tidak hanya itu, lagu yang sudah tiga tahun diperdengarkan ini juga menjadi kegemaran apabila sering dipilih untuk dinyanyikan menerusi aplikasi Smule. Dengan pelbagai versi, lagu ini benar-benar menepati cita rasa peminat muzik tempatan.

    Dengan genre muzik rock ala 1990-an, Sudah Ku Tahu mengembalikan nostalgia lagu-lagu rock kapak, tangkap leleh. Ia dianggap sesuatu yang baharu bagi generasi muda, namun bagi yang berusia 30 tahun ke atas, lagu ini tangkap ‘cintan’ buat mereka.

    Tidak hairanlah, lagu ini juga menjadi pilihan pendengar apabila kebanyakan stesen radio seakan ‘wajib siar’ lagu dalam sehari.

    Daripada kanak-kanak hingga dewasa, lagu ini menjadi siulan. Jangan kata ada yang tidak tahu lagu ini kerana fenomena ini mungkin berterusan hingga selepas Aidilfitri nanti.

    Kredit : Sinar Harian Online

    Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...

    Nak beli domain mudah dan servis terbaik....  https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778    klik banner yang kami beri ini...   Testim...

    Catatan Paling Popular