AKSI seorang wanita mencuri wang upah pelanggan kepada seorang pemandu Uber tular dan pelayar laman sosial mencari tertuduh sehingga ke lubang cacing.
Wanita tersebut dikenali, Gabrielle Canales dirakam mencuri wang dari peti yang diletakkan dalam kenderaan Mohammed H Bhuiyan.

Rakaman video aksi 'panjang tangan' Gabrielle pada 12 Ogos tersebut kemudian dimuat naik ke laman YouTube dan mencapai tontonan hampir 1.5 juta.
Pelayar laman sosial yang jelas berang dengan tindakan Gabrielle mula mencari maklumat wanita tersebut untuk didedahkan.

Akhirnya, akaun Instagram Gabrielle berjaya dikesan dan pelayar Instagram lain mula mengutuk Gabrielle 'secara berjemaah'.
"Perempuan hodoh, buruk, manusia menjijikkan!" kata seorang pelayar.
"Ini binatang hodoh yang mencuri wang dari pemandu Uber yang mencari rezeki dengan cara sah," kata seorang pelayar lain tanpa selindung.

Seorang pelayar yang menuduh Gabrielle melakukan aksi tersebut hanya untuk popular di laman sosial berjaya menarik perhatian si pencuri.
"Anda fikir saya nak jadi terkenal sebab mencuri 5 dolar ke bangsat?" kata Gabrielle langsung tidak bertapis, merujuk kepada pengkritiknya.
Komen 'tidak bijak' dari Gabrielle tersebut kemudian menyebabkan laman Instagram beliau 'dihambat' dengan lebih hebat dari pelayar lain.

Menurut laporan Independent, Gabrielle, 18, telah memohon maaf kerana mencuri wang Mohammed dan telah memulangkannya iaitu AS$5 (RM20).
Disebabkan aksi mencuri tersebut, Gabrielle mendakwa dirinya menjadi mangsa buli siber, menerima ugutan bunuh dan diganggu secara seksual.
Independent juga mengatakan Uber mengesahkan kejadian tersebut berlaku dan akaun Gabrielle di aplikasi Uber telah dinyah aktif.

Sinar Harian Online