KAMPUNG BARU SUNGAI BINJAI - Biarpun kudratnya kian terhalang dek kerana usia sudah menginjak 90 tahun, namun seorang moyang 15 cicit, di sini, masih setia melaksanakan tanggungjawab diamanahkan sebagai seorang bilal masjid.
Meskipun pernah terpijak najis lembu serta terjatuh longkang kerana penglihatan kian kabur, Seman Samat tetap gagahkan diri melangkah ke masjid dengan berbekalkan tongkat bagi melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat.
Mencungkil secebis kisah warga emas yang lebih dikenali sebagai Pok Nik ini, dia menyedari kemampuan diri kini terhad namun ketiadaan pengganti menyebabkannya terus menggalas amanah sebagai bilal atau muazin sehingga kini.
“Pakcik mula jadi bilal sejak tahun 1970an, sewaktu berhijrah ke sini dari Pasir Puteh. Pakcik antara orang terawal datang sini, kami bergotong-royong bina surau atau dipanggil ‘balaisoh’.
“Lepas siap, pakcik antara yang selalu laungkan azan sampailah diberi tanggungjawab itu hingga sekarang," katanya.
Menurutnya, dia akan ke masjid seawal jam 4.30 pagi untuk beriktikaf dan terus melaungkan azan apabila masuk waktu Subuh.
“Sebagai bilal, menepati masa adalah penting dan perlu dijaga sebaik mungkin. Tapi, lepas mata pakcik tak dapat melihat jelas lebih setahun lalu, pakcik tak lagi ke masjid untuk azan Subuh, hanya empat solat fardu lain.
"Tempat pakcik biasanya diambil alih oleh jemaah atau imam,” katanya.
Boleh agak kedudukan masjid
Tambah Pok Nik yang mempunyai 30 cucu, dia biasanya dipimpin jemaah masjid untuk pulang ke rumah terletak kira-kira 50 meter selepas selesai solat Isyak kerana masalah penglihatannya.
“Memang pakcik tak nampak jelas, hanya nampak bayang-bayang saja, tapi mungkin sebab dah biasa, pakcik boleh agak kedudukan masjid termasuk mana pintunya, mikrofon, dan suis dalam masjid.
"Tapi tak selalulah nasib baik, ada masa pakcik terpijak tahi lembu, pernah sekali jatuh dalam longkang sebab silap agak.
"Tapi, selagi diberi amanah sebagai bilal, pakcik akan buat. Masjid ini dah macam rumah kedua pakcik, sebagai bilal memang wajib untuk datang awal sebelum waktu solat," katanya.
Menurutnya lagi, dia sebelum ini sering membaca al-Quran setiap kali beriktikaf di masjid, namun sejak penglihatannya mula kabur, dia hanya berzikir dan menghafaz surah.
"Bilal biasanya akan ganti imam kalau imam tak dapat datang,” ujarnya yang punyai 10 anak.
Kata Pok Nik lagi, dia pernah berniat menamatkan tugasnya sebagai bilal kerana menyedari keuzuran diri, namun niat tersebut belum tertunai memandangkan ketiadaan pengganti.
“Memang kalau diikutkan umur pakcik sekarang dah tak sesuai jadi bilal, tapi selagi diberi tanggungjawab, pakcik akan buat. Bukan sebab nak elaun, tapi untuk bekalan ke sana," katanya.
Tambahnya, dia pernah mendengar ada beberapa calon mencuba jawatan bilal tersebut namun tidak lulus syarat.
"Jadi bilal ni bukan untuk azan saja, ia lebih dari itu. Kita perlu tahu ilmu fardu kifayah termasuk uruskan jenazah," katanya.
Sementara itu, jemaah Mat Zin Salleh, 73, berkata, secara peribadi dia kagum kesungguhan Seman melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang bilal walaupun pergerakannya terbatas.
"Walau dah berumur, tapi dia tetap setia jalankan tugas. Tapi, ada juga rasa kasihan sebab sepatutnya dia sudah boleh berehat, namun nak buat macam mana selagi tak ada pengganti.
"Selain Seman, ada lagi seorang bilal, tapi dia bertugas hari Jumaat saja. Pasal pengganti bilal ini memang selalu dicakapkan oleh imam, jawatankuasa masjid dan jemaah, tapi sayang orang muda tak berapa minat," katanya.
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN