PEMBELIAN rumah ketika ekonomi negara tidak menentu pastinya memberi kesan kepada seseorang itu apatah lagi harga rumah dan hartanah semakin meningkat.

Malah begitu banyak keluhan yang didengari Azizul Azli mengenai perkara itu terutamanya dalam kalangan anak muda. Rungutan seperti harga rumah sangat mahal, generasi muda tidak mampu membeli dan terpaksa menyewa hingga ke tua.

Namun bagi Azizul Azli, perkara yang dirungutkan itu merupakan realiti yang berlaku hari ini atau sememangnya sikap golongan muda yang suka mengalah sebelum mencuba.
Berpegang kepada prinsip, katanya, orang muda zaman sekarang harus mengikat nafsu daripada membeli kenderaan terlebih dahulu.

Tegasnya, mereka harus membeli hartanah dahulu sebelum kenderaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azizul gigih ‘buru’ rumah lelong]

‘Jika kita mampu membeli kenderaan, kita sebenarnya mampu beli kediaman!’

Dengan situasi ekonomi semasa, adakah ia waktu yang sesuai untuk melakukan pelaburan terutamanya hartanah?

Sebelum memulakan pembelian kenderaan, kita harus bertanya dengan diri sendiri mengenai persiapan untuk masa hadapan dan keperluan utama. Jika kita sekadar melakukan pelaburan semata-mata mengikut rakan, baik lupakan sahaja niat itu.

Perlu anda ketahui bahawa pelaburan hartanah hari ini menjadi satu gerakan popular, namun jangan tersilap langkah.

Setiap kali ingin melakukan sesuatu pelaburan, kita wajib mengetahui risiko dan impak kepada diri sendiri.

Kebiasaannya alasan yang sering digunakan pelabur dalam hartanah adalah sebagai dana persaraan awal dan jaminan kepada anak cucu.

Ada juga yang ingin dijadikan sebagai warisan keluarga, dana pendidikan, aset perniagaan, trofi kejayaan, ‘mesin wang bulanan’ dan hadiah untuk yang tersayang. Perlu diingatkan, pelaburan hartanah bukan pelaburan baik sekiranya kita bukan pelabur yang bagus.

Ramai berpendapat bahawa membeli rumah akan menambah hutang sedia ada dan beri impak negatif, adakah benar perkara itu?

Berhutang untuk membeli hartanah dianggap sebagai hutang yang baik. Ini kerana di kala kita menikmati peningkatan nilai hartanah, pinjaman juga akan semakin berkurangan.

Tidak cukup itu, kita akan dihidangkan dengan pendapatan pasif daripada hasil hartanah itu. Selain hanya membeli, kita juga perlu menghiasi dalaman rumah yang dibeli agar nilai sewaan lebih tinggi.
Sekiranya mahu hartanah mendapat perhatian, lokasi menjadi peranan penting seperti berdekatan dengan kilang, universiti dan pusat bandar. Jika rumah kelihatan cantik, potensi untuk ia disewa amat tinggi.

Perlu diingatkan bahawa kawasan pedalaman juga mempunyai nilai hartanah cukup komersial apatah lagi harganya masih lagi rendah.

Pelaburan di kawasan itu tidak menjadi satu kerugian sebaliknya perlu memandang ke hadapan kerana ia mungkin akan naik. Status ‘bandar’ juga memainkan peranan penting kerana kawasan itu berkemungkinan besar akan membangun dengan pesat.

Bagaimana pengurusan kewangan betul agar diri tidak dibebani hutang jika ingin memiliki rumah lebih daripada satu?

Sebenarnya dengan membeli banyak hartanah adalah satu kelebihan kepada individu itu. Namun tanpa pengurusan betul, hartanah atau aset tersebut mungkin dilelong bank jika tidak dapat beri komitmen terhadap pembayaran bulanan.

Semestinya pemilikan rumah lebih banyak, lebih bagus kerana ia menyumbang kepada pendapatan pasif hasil sewaan bulanan.

Ia bermaksud pendapatan yang diterima tanpa usaha tetapi diperoleh secara berterusan ke poket kita. Malah kita tidak perlu bekerja untuknya, sebaliknya ia akan bekerja untuk kita. Satu konsep yang mudah difahami namun memerlukan pengurusan betul.

Bagi saya, setiap rumah yang dibeli ditetapkan harga bawah RM50,000 sama ada rumah lelong atau rumah terpakai. Sebagai contoh, pembayaran bulanan bagi jumlah itu dengan bank selama 30 tahun bernilai RM250.

Jika kita menyewakan rumah tersebut dengan nilai RM600, ada lebihan sewa sebanyak RM350 dan ia boleh dimasukkan ke tabung pendidikan anak-anak atau kecemasan. Asas kewangan ini boleh diaplikasikan secara berterusan terhadap bakal rumah yang dibeli.

Saya sendiri menyimpan impian untuk memiliki 20 buah rumah namun masih belum mencapainya. Saya sedar bahawa rumah tidak boleh dibawa ke kubur namun kita boleh mewarisinya kepada anak cucu atau mewakafkan rumah untuk kegunaan amal.

Ramai menzahirkan punca utama gagal membeli hartanah berpunca daripada gaji kecil, mungkin anda ada solusinya?

Kebanyakan masyarakat kita menganggap bahawa kehidupan seorang pensyarah pastinya mewah dan menggunakan barangan berjenama sahaja.

Definisi mewah pada pandangan saya cukup berbeza. Berdasarkan pengalaman sendiri, ada sahabat saya yang bekerja kilang dengan pendapatan RM1,800 sebulan manakala pendapatan pensyarah RM5,000 sebulan dianggap begitu mewah.

Seiring dengan perkembangan teknologi, kehidupan juga perlu ada kecanggihan begitu juga dengan gaji.

Perbelanjaan tanpa ilmu pengurusan kewangan pastinya menjadikan kita semakin ‘kaya’ di mata masyarakat namun ‘miskin’ simpanan masa depan.

Seharusnya, gaji yang diperoleh disimpan dahulu bukannya berbelanja dahulu baru simpan. Perkara ini harus diubah, jika tidak kita akan gagal selamanya untuk memiliki rumah idaman sendiri.

Sekiranya ingin menyewakan kediaman yang dibeli, apakah harus dilakukan agar ia tidak dibiarkan kosong?

Sebelum membeli rumah lelong, harus diingatkan bahawa terdapat ciri-ciri pemilihan untuk membeli rumah tersebut. Perkara pertama saya lihat adalah dari segi faktor harga murah iaitu bawah RM50,000.

Lokasi pula berdekatan dengan kemudahan asas dan fasiliti seperti sekolah, universiti dan sebagainya. Jika terdapat rumah baharu atau pemilik tidak pernah menduduki rumah itu selepas dibeli selama bertahun, rumah tersebut masih lagi elok dan tidak perlu banyak penambah baikan.

Lokasi juga perlu berhampiran pasar raya memudahkan pembelian barangan keperluan dapur dan banyak peluang pekerjaan wujud. Padat dengan pekerja, pastinya kawasan itu menjadi tumpuan pekerja tempatan dan asing.

Pengurusan dan blok baharu, ia tidak seperti blok kusam dan buruk akibat pihak pengurusan mengabaikan tanggungjawab mereka dalam membaik pulih kawasan perumahan.

Blok perumahan tunggal menjadikan ia tarikan utama untuk mereka yang ingin menyewa rumah. Dan akhir sekali, kenaikan nilai hartanah walaupun kadar peningkatan perlahan namun harga masih di bawah harga pasaran.

Kredit : Sinar Harian Online

www.kelabsimkad.com/daus