SELEPAS tamat pengajian dalam bidang kemahiran, golongan belia rata-ratanya bercita-cita mahu membuka perniagaan sendiri, namun didakwa sukar mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak.
Benarkah golongan belia susah mendapatkan pembiayaan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka?
Kini, mereka boleh menarik nafas lega apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan kemudahan pinjaman baharu untuk belia menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan Program Putra yang diperkenalkan Jun lalu.
Pegawai Khas kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jamawi Jaafar berkata, skim itu terbuka kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun asalkan mereka mempunyai lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) serta premis berniaga.
“Skim pembiayaan ini lebih mudah berbeza dengan pinjaman yang sedia ada sebelum ini kerana tidak perlukan penjamin atau cagaran dan juga penyata bank.
“Walaupun mereka hanya berniaga dari rumah, kios atau berniaga di hadapan rumah, belia ini tetap boleh memohon pinjaman ini,” katanya.
Menurutnya, skim itu menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun.
“Jumlah pembiayaan itu bergantung pada pinjaman yang dipohon oleh peniaga itu sendiri,” katanya.
Untuk meningkatkan taraf hidup belia, beliau berkata, Mara menawarkan bantuan kepada belia lepasan Giatmara dan institut kemahiran Mara (IKM) serta mereka yang mahu mengembangkan skala perniagaan masing-masing termasuk perniagaan dalam talian.
“Untuk lepasan Giatmara atau IKM contohnya, mereka yang ada kemahiran baiki motosikal dan ingin membuka bengkel motosikal, boleh membuat permohonan ini. Kita bantu mereka yang baru tamat pengajian supaya ilmu itu dipraktikkan.
“Bagi golongan belia bukan lepasan Giatmara dan IKM, mereka perlu berniaga sekurang-kurangnya tiga bulan dan memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, Mara memperuntukkan RM50 juta dana khas untuk program Putra.
“Setakat 31 Ogos lalu, jumlah penerimaan peruntukan dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) ialah RM12.5 juta. Daripada jumlah itu, perbelanjaan setakat tempoh itu ialah sebanyak RM254,000, manakala belanja komited pula RM2.731 juta. Pengagihan sudah mula dibuat awal Ogos lalu.
“Walaupun tiada promosi besar-besaran, sambutan terhadap pembiayaan itu sangat menggalakkan. Sejak dilancarkan, Mara telah menerima dan memproses 620 pemohonan pembiayaan ini,” katanya.
Serius hendak berniaga
Walaupun kriteria untuk memohon pinjaman itu dilihat agak mudah, Jamawi bagaimanapun berkata, bukan semua usahawan belia dapat menikmati pembiayaan itu.
Ini kerana, katanya, Mara hanya akan meluluskan pinjaman kepada mereka yang benar-benar serius mahu berniaga.
“Pegawai Mara di setiap daerah akan buat penilaian. Mereka akan turun padang melihat perniagaan golongan muda dan menemu bual usahawan ini. Jika sesuai, barulah permohonan diluluskan.
“Kalau belia itu sudah isi borang, tetapi tiada lesen perniagaan atau tidak mahir dalam bidang perniagaan yang hendak dilakukan, permohonan pembiayaannya boleh ditolak,” katanya.
Jika perniagaan belia itu berjaya, beliau berkata, usahawan tersebut boleh memohon skim pembiayaan lain melibatkan jumlah lebih besar di bawah Mara untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Mara ada banyak pakej pembiayaan lain. Skim ini dibuka untuk belia yang baru bertapak dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan saja,” katanya.
Menurutnya, Skim Pembiayaan Perniagaan Program Putra diperkenalkan kerana menyedari kekangan yang dihadapi golongan belia yang sukar mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan sedia ada.
“Kebanyakan institusi kewangan lain menetapkan syarat seperti ada penjamin, berniaga lebih enam bulan dan penyata bank sekiranya usahawan ingin membuat pinjaman perniagaan.
“Kita juga dapati, belia yang ada perniagaan dan ingin mengembangkannya sukar berbuat demikian. Contohnya, ada gerai burger dan berhasrat hendak tambah cawangan di tempat lain. Jika pergi ke bank untuk buat pinjaman, ia akan diklasifikasikan sebagai perniagaan kurang berdaya saing,” katanya.
Bagi golongan usahawan yang berminat untuk memohon pembiayaan Putra, mereka boleh menghubungi pejabat Mara berhampiran atau melayari laman sesawang http://www.mara.gov.my/program-putra.
sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN