MOHD Hafiz Sak Rani bukanlah seorang yang memiliki kewangan yang baik pada awalnya.
Dia pernah berdepan dengan masalah kewangan yang teruk sehingga pernah disenaraihitamkan pada 2009 akibat penggunaan melebihi had bagi kad kredit dan pinjaman peribadi.
Dia mengakui lalai ketika usia mudanya dengan keseronokan tanpa memikirkan kesan buruk pada masa akan datang.
"Semuanya bermula apabila saya ditawarkan oleh juru jual kad kredit di sebuah pusat membeli-belah di Pulau Pinang, ketika itu saya masih bekerja sebagai juruteknik di salah sebuah kilang elektronik dengan gaji RM1,900 sebulan.
"Tanpa berfikir panjang, akhirnya saya menerima tawaran itu sehingga saya memiliki tiga kad kredit dan satu pinjaman peribadi," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, keseronokan memiliki kad kredit menyebabkan saya berbelanja dengan boros bagi membeli telefon mudah alih yang terkini, membeli-belah dan juga melancong, tanpa memikirkan hutang yang perlu ditanggung kelak.
Rentetan itu, Mohd Hafiz akhirnya menanggung hutang sebanyak RM21,000 bagi kad kredit dan pinjaman peribadi sehingga dia tidak mampu membayar semula.
Mohd Hafiz yang ketika itu baru sahaja menerima tawaran kerja sebagai juruteknik di Telekom Malaysia (TM) pada 2010 berkata, dia tidak mampu membayar kesemua hutang itu kerana gaji yang ditawarkan rendah.
"Gaji tidak cukup untuk tampung hutang-hutang itu, pada masa sama terpaksa mengumpul duit untuk berkahwin.
"Barulah ketika itu saya menyesal tentang kesilapan saya," kata anak kelahiran Sungai Besar, Selangor.
Dalam situasi itu, Mohd Hafiz secara kebetulan terbaca satu blog tentang hartanah iaitu bloq abang ensem.
Dia tertarik tentang pelaburan hartanah dan sejak itu mula mengumpul pengetahuan dengan menghadiri kelas hartanah dan menerusi pembacaan.
Bagaimanapun, untuk memulakan pelaburan itu, Mohd Hafiz menyedari dia perlu menyelesaikan hutang-hutangnya terlebih dahulu.
Berkat kegigihannya, dia berjaya menyelesaikan kesemua hutangnya dalam tempoh tiga tahun dan memulakan pembelian rumah pertamanya, iaitu rumah baharu pada 2014 di Kundang, Sungai Buloh.
Selang enam bulan, Mohd Hafiz berjaya membeli sebuah rumah baharu sama ada rumah subsale mahupun rumah lelong.
Sehingga kini, Mohd Hafiz memiliki enam rumah, yang mana satu daripada yang masih di dalam pembinaan, sebuah rumah lagi diduduki bersama keluarga dan empat disewakan," katanya.
"Walaupun telah habis membayar kesemua hutang itu, tetapi saya akui sedikit fobia dengan kad kredit.
"Sebut sahaja kad kredit rasa takut, sebab itu sehingga kini saya tidak memiliki satu pun kad kredit," katanya.
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN