Menurut Anis Hafiza, 24, peristiwa itu menyebabkan dia nekad memiliki rumah sendiri kerana pelaburan pada hartanah boleh menjana pendapatan lumayan jika disewakan atau dijual kembali selepas beberapa tahun.
"Saya melihat ibu, Azilah Abdullah selepas bercerai, membina beberapa rumah sewa di kampung. Hasil bayaran sewa itu, ibu membesarkan kami tiga beradik, nilai sewaan semakin bertambah.

"Jika membeli kereta, nilainya akan susut dalam tempoh beberapa tahun berbanding membeli rumah, nilainya akan meningkat dalam tempoh sama. Lokasi strategik juga mampu menyumbang peningkatan nilai hartanah," katanya.
Tambahnya, situasi tersebut menunjukkan pemilikan hartanah penting dan dia mula mengukuhkan kewangannya dengan mengumpul wang daripada sumber pendapatannya sedikit demi sedikit manakala perbelanjaan saya digunakan dengan sebaiknya.

"Saya menggunakan sebahagian wang hantaran sebagai wang pendahuluan membeli rumah kediaman pangsapuri di Seksyen 7, Shah Alam pada 2010. Alhamdulillah, saya berjaya membeli rumah dan ia adalah hadiah perkahwinan saya," katanya.
Katanya, setiap wanita harus memiliki kediaman sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada suami untuk menyediakannya selepas berkahwin.

"Alhamdulillah, kini, saya mempunyai beberapa rumah yang disewakan dan sublet yang mampu menjana pendapatan. Ia bukannya perkara yang mudah untuk dilakukan, tetapi dengan adanya sikap ingin belajar dan terus belajar, kita akan menguasai ilmu hartanah.
"Pada mulanya, suami, Muhammad Fairuz Zain Salleh, menyokong setiap apa sahaja yang saya lakukan berkaitan hartanah kerana dia bekerja dalam bidang lain. Kini, kami bersama-sama dalam bidang ini dan berganding bahu menguruskannya," katanya.


Anis dan suami menyediakan perabot sama ada di rumah sewa dan sublet untuk memberi kemudahan kepada penyewa.

Selain penasihat, Anis Hafiza juga memberikan taklimat, sesi perkongsian pengalaman berkaitan hartanah dengan orang ramai dan membantu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan hartanah.

Rumah harta tiada susut nilai

Harga hartanah yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini menyaksikan rakyat terutama golongan muda mendapati mereka tidak mampu untuk membeli rumah.
Rumah berharga RM500,000 mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan golongan muda untuk membeli rumah pertama, bagaimanapun mereka tidak mampu berikutan kenaikan gaji lebih perlahan.

Malahan, jumlah pendapatan isi rumah yang masih rendah dan keadaan ekonomi semasa tidak menentu punca utama rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Selain itu, faktor lain iaitu ketika ini permintaan rumah tinggi namun kekangan daripada pihak pemaju yang menawarkan harga rumah di luar mampu milik di pasaran menyebabkan rakyat tidak memiliki rumah.

Gaji rendah sudah pasti tidak mampu membeli rumah ditawarkan dengan harga tinggi walaupun banyak pembangunan perumahan dilaksanakan.
Bagaimanapun, kebelakangan ini, ramai yang membuktikan bahawa gaji rendah bukanlah alasan tidak memiliki rumah kerana mereka melihat kepada potensi prospek hartanah yang menjanjikan tiada susut nilai dalam jangka masa panjang.
Penasihat dan Pelabur Hartanah, Anis Hafiza Ali membuktikan gaji yang kecil mampu memiliki hartanah, malahan melalui segmen itu, ia boleh menjana pendapatan.

Bagaimana dengan gaji kecil, rakyat perlu rebut peluang memiliki hartanah terutama rumah?

Rumah sangat penting, ia pelaburan masa depan. Pembelian harta untuk didiami adalah usaha yang memerlukan banyak wang, masa, penyelidikan dan strategi pelaburan baik. Rumah harta bernilai kerana ia boleh jana pendapatan daripada dibebani dengan faktor lain yang menyumbang kepada susut nilai yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Selalunya, pilihan membeli rumah tercetus apabila sudah berumah tangga, tiada tempat tinggal atau sudah lama menyewa serta kematian pasangan. Kesedaran pembelian rumah perlu dipupuk sejak muda kerana kebiasaannya, golongan ini mahu hidup bergaya. Di peringat permulaan, pembelian rumah bersaiz kecil terlebih dahulu berharga lingkungan RM150,000, melibatkan diri dalam pajakan rumah (sublet), menjadi ejen hartanah dan menjual bahan berkaitan hartanah.

Apakah faktor yang menjadi penyumbang kepada kekangan untuk memiliki rumah?

Kebanyakan mereka yang berhasrat membeli rumah tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bayaran pendahuluan dan mereka menangguhkan hasrat membeli rumah kerana tidak mampu membeli jenis rumah yang menjadi pilihan. Mereka juga kekurangan wang tunai untuk membeli rumah, mahu membeli bersama-sama anggota keluarga dan berhasrat membeli rumah bersaiz besar dan mempunyai tanah. Di peringkat permulaan, simpanan tunai boleh dilakukan dengan mengurangkan perbelanjaan untuk aktiviti santai dan membeli rumah pangsapuri terlebih dahulu. Dijangkakan dalam tempoh beberapa tahun, harga rumah tersebut akan meningkat.

Melalui pengalaman sendiri, dengan bergaji kecil, bagaimanakah dapat memiliki beberapa rumah dan terlibat dalam bidang hartanah?

Saya mahu memiliki rumah sendiri sebagai harta untuk masa depan. Saya menggunakan simpanan sendiri dan mengambil wang hantaran untuk dijadikan wang pendahuluan membeli rumah ketika berusia 24 tahun. Ia keputusan tepat kerana ia membawa saya dalam bidang ini yang dilihat mempunyai prospek tinggi. Dalam masa sama, saya berjinak-jinak dalam bidang hartanah dengan mengikuti kelas dan pelbagai kursus berkaitan hartanah untuk mendalami ilmu hartanah. Selepas berkahwin saya mendapat sokongan suami, Muhammad Fairuz Zain Salleh untuk bersama-sama dalam bidang hartanah kerana suami mempunyai kepakaran dalam bidang hiasan dalaman manakala saya terlibat dalam pemasaran.

Apakah langkah perlu dilakukan untuk merealisasikan hasrat memiliki rumah?

Langkah pertama adalah melakukan perancangan lebih awal dan tidak memandang ringan bayaran pendahuluan iaitu bajet perlu melebihi harga rumah. Mereka perlu dapatkan maklumat kewangan dan mempertimbangkan perbelanjaan seharian dengan berhemah. Sehingga kini saya masih mengamalkan sikap berjimat-cermat iaitu mengasingkan wang sewaan dan sublet untuk simpanan dan perbelanjaan, gaji saya tidak berusik. Selain itu, mereka tidak perlu malu untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada profesional untuk membantu dalam membuat pilihan tepat.

Bagaimana boleh menjana pendapatan melalui hartanah dan tip membeli rumah?

Saya membeli pangsapuri pada 2010 untuk diduduki dan diikuti beberapa rumah pangsapuri yang disewakan di sekitar Lembah Klang. Pada tahun lalu, saya bersama suami berjinak-jinak dengan sublet dan menyediakan perabot yang bersesuaian, kami mampu menjana pendapatan tambahan. Setiap hartanah yang dibeli perlu memenuhi aspek pelaburan dan kriteria yang memenuhi permintaan pelanggan. Setiap hartanah yang dibeli harus memenuhi beberapa kriteria dari aspek pelaburan, apa yang penting ialah ia mempunyai aliran tunai yang positif meskipun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Selain itu, lokasi bersesuaian dan berdekatan kemudahan pembangunan infrastruktur dan fasiliti lengkap, memacu nilai pelaburan. Pembeli perlu memeriksa dengan pihak perunding hartanah sebelum membeli hartanah.

Sinar Harian