TIGA hari yang lalu, saya berbuka puasa di SS2 di kedai Cina. Taukenya bukan Muslim. Setelah order makanan, dia duduk bersama saya dan mula tanya soalan. Dia mesra kerana saya bercakap Kantonis dengannya.
“Kamu tak makan, tak minum satu hari?,” dia tanya.
Saya jawab, “Bukan sehari. Hanya pukul 6 pagi sampai 7.30 petang je.” Saya berusaha jawab dengan berhati-hati kerana saya tahu banyak salah faham terhadap puasa menurut Islam.
Dia tanya lagi, “Ada kawan Muslim bagitahu dia juga memaksa anak-anak kecilnya untuk berpuasa!" Saya dah jangka dia pasti salah faham tentang hakikat puasa.
“Mana ada anak kecil wajib puasa!,” saya nyaringkan suara sikit supaya dia benar-benar dengar apa yang saya kata.
Dia macam tak puas hati, lalu tanya lagi, “Surat khabar laporkan bahawa beberapa orang asing Muslim kena tangkap kerana mereka makan di kedai makan. Kalau mereka ini buruh kasar, kerja construction, mana larat nak puasa! Bukan saja mereka tak boleh makan, air pun tak boleh minum!”
Ini dah jauh sangat salah faham. Cuba tanya diri kita. Apa punca Islamofobia tauke Cina ini tentang puasa? Adakah ia berpunca dari permainan media Barat atau dari kejahilan diri sendiri?
Saya terus respons, “Buruh yang kerja berat tidak wajib berpuasa bila dia bekerja. Bahkan kalau boleh dehiydration, dia wajib minum air. Bukan semua Muslim wajib puasa. Ibu saya tak puasa sebab dah sangat tua dan uzur. Bahkan, ada yang haram berpuasa. Kalau berpuasa juga, dia berdosa besar seperti perempuan yang baru lahir anak dan haid. Kalau seseorang travel jauh, dia juga tak wajib berpuasa. Puasa hanya untuk yang mampu dan yakin tidak akan memudaratkan dirinya. Puasa untuk bina kesihatan dan untuk sedarkan tentang kesusahan fakir miskin, bukan untuk membunuh jiwa!”
Tauke Cina ini tanpa ragu-ragu terus angguk-angguk kepala tanda setuju.
Sebenarnya, kita tidak smart dalam mempersembahkan roh Islam sebagai rahmat. Kita kutuk mereka yang makan di kedai makan tapi adakah kita sediakan tempat khas yang tertutup untuk mereka yang layak berbuka? ALLAH SWT telah beri hak kepada sebahagian orang untuk tidak berpuasa, siapa kita untuk halang? Sepatutnya kita jaga hak mereka ini dengan sediakan tempat khas tertutup dalam setiap kedai makan.
Mungkin akan dikatakan bagaimana kita tahu seseorang itu layak berbuka puasa siang hari? Ini masalah pengurusan. Kita kena setuju dengan konsepnya bahawa ALLAH SWT telah berikan hak kepada beberapa kategori untuk tidak berpuasa dan kita perlu jaga hak dan maslahat kategori-kategori ini. Kita boleh minta seseorang untuk tunjukkan M.C. daripada doktor untuk pengesahan bahawa dia tak wajib puasa.
Cuba bayangkan seorang tua berjubah, berkopiah yang tak larat berpuasa. Puasa akan memudaratkan kesihatannya dan mungkin bahayakan nyawanya. Bayangkan dia sedang berjalan-jalan di mall dan tiba-tiba dia terasa lapar nak pitam. Di mana dia makan kalau semua kedai tiada tempat khas tertutup untuk makan? Makan di jamban?
Saya tidak setuju kedai makan ditutup pada waktu puasa. Saya tidak setuju menghalang bukan Muslim untuk makan. Yang cemarkan Ramadan ialah kita menimbulkan Islamofobia, mencemarkan maruah Islam.
Kalau nak benar-benar jaga kesucian Ramadan, deactivatekan FB, Instagram dan WhatsApp group. Inilah yang banyak mengumpat, mencaci dan mencela. Kalau dibandingkan jumlah orang Islam yang curi makan dengan jumlah orang yang berpuasa perut tapi mengumpat di sosial media, mana yang lebih banyak?
Pencemaran kesucian Ramadan sudah sampai tahap di mana sebahagian ustaz kutuk ahli politik bukan Muslim yang berbuka puasa bersama dengan Muslim.
Bila saya berbuka puasa dengan bukan Muslim, saya ambil peluang keemasan ini untuk jelaskan bahawa puasa bukan sekadar tahan lapar dan dahaga, tetapi adalah asas pembinaan tamadun dan saya jemput bukan Muslim untuk sama-sama faham dan bina tamadun ini.
* Abdul Naser Tun Rahman, Tokoh Pendakwah Perak
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN