GAMBAR seorang pemilik kereta Ferrari dikatakan bersikap zuhud dengan mencuci tandas masjid di Subang Jaya, setiap pagi selepas solat duha, yang tersebar sejak petang kelmarin, mengundang pelbagai reaksi netizen.

Gambar tersebut memaparkan seorang lelaki sedang tunduk mencuci dinding tempat wuduk tanpa wajahnya dapat dilihat dengan jelas.

Gambar disebar oleh seorang pengguna akaun laman sosial itu menyatakan, pemuda berkenaan berpakaian ringkas dan dikatakan akan menukar baju kemeja untuk ke tempat kerja selepas selesai kerja mencuci di masjid berkenaan.

Pemuda itu dikatakan akan memakai kasut dan berjalan ke kereta merah berlambang kuda hitam, berbumbung separas pinggang.

Rata-rata netizen mengakui kagum dengan kerja kebajikan pemuda yang dikatakan boleh menghilangkan sifat takbur, riak dan sombong itu.

Malah tidak kurang juga netizen wanita yang ingin bertemu jodoh dengan lelaki itu.
Selepas sehari gambar itu tular, Norman KRU dipetik MStar berkata, kereta Ferrari itu miliknya berdasarkan nombor pendaftaran.

Norman atau nama sebenarnya, Norman Abdul Halim berkata,  individu dalam gambar yang tular bukan dirinya.

Jelasnya, gambar keretanya tersebar adalah perkara biasa, namun yang luar biasa  jika  dia mencuci masjid di Subang Jaya kerana jauh dari rumahnya di Cyberjaya.

Mengenai nombor pendaftaran keretanya tersebar, Norman mengakui agak sukar menyembunyikannya.

Susulan itu, netizen yang melakukan ‘siasatan’ dan mengetahui status kereta itu mengecam pentadbir laman grup media sosial tersebut.

Sinar Harian dimaklumkan jawatankuasa masjid di SS15 bahawa gambar yang tular bukan masjid tersebut.
 
Sinar Harian Online