APABILA tiba musim cuti sekolah dan perayaan, ramailah yang mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri kahwin kerana percaya ramai punya kelapangan berkunjung bagi memeriahkan hari bersejarah pasangan mempelai. Memang hasrat ini amat baik kerana Islam juga menggalakkan kita meraikan pasangan-pasangan berkahwin, malah menjadi syiar Islam mengumumkan sesuatu perkahwinan itu.
Dalam sesuatu majlis perkahwinan, perlulah kita membezakan antara adat dan ibadat. Daripada kaca mata Islam upacara akad nikah sebenarnya lebih penting daripada kenduri itu sendiri kerana saat menjadi suami isteri adalah tatkala lafaz ijab dan kabul sempurna. Di situlah bermulanya layar bahtera perkahwinan suami isteri tersebut dan keluarga ini perlu diacukan mengikut acuan yang telah ditetapkan hukum syarak. Berapa ramaikah pasangan pengantin baharu dan ahli keluarga yang menghantar pengantin itu memberi tumpuan kepada khutbah nikah disampaikan jurunikah? Sebenarnya inti pati khutbah nikah itu amat bermakna bagi dijadikan teladan dan sempadan dalam setiap perkahwinan.
Walaupun kenduri majlis perkahwinan itu dituntut dalam Islam namun apalah guna jika wang dihabiskan untuk majlis di tempat-tempat mewah sedangkan hendak memulakan kehidupan seharian kelak, raja sehari ini terpaksa meminjam dan meminta-minta daripada orang lain. Ia sebenarnya membawa implikasi besar kerana tanggungjawab menyara keluarga pada ketika itu adalah di bahu si suami sepenuhnya.
Di samping itu, penulis mengambil kesempatan di ruangan ini untuk menasihati pasangan pengantin baharu memperdalami ilmu agama, tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kerukunan rumah tangga hendaklah sentiasa disemai dan dibajai agar ia mekar dan mencapai matlamat rumah tangga yang sebenar iaitu ‘mawaddah wa rahmah’ (kasih dan sayang). Memanglah tidak dinafikan sesebuah rumah tangga itu pasti akan diuji. Anggaplah ujian itu sebagai pemangkin menambah kasih sayang antara suami isteri.
Adalah amat penting juga diingatkan kepada pengantin-pengantin baharu bahawa perceraian bukanlah suatu permainan. Sepertimana pernikahan, perceraian membawa implikasi amat besar kepada pasangan dan keluarga. Malah perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci ALLAH SWT, apatah lagi sekiranya dilafazkan berkali-kali yang mungkin membawa kepada perceraian tidak boleh dirujuk lagi.
Perkara yang sering dilupakan pasangan pengantin baharu ialah belajar ilmu agama walaupun sepatutnya tatkala bergelar suami atau isteri persoalan ini tidak perlu diungkit lagi. Namun bagi peringatan kita yang sering lupa, suami wajib mengajar sekurang-kurangnya ilmu fardu ain kepada isterinya. Jika suami itu tidak mampu mengajar isterinya maka hendaklah si suami mencari pengajar-pengajar agama bagi mengajar isteri. Juga amat baik sekiranya si suami juga meluangkan masa sama-sama mendalami ilmu agama itu kerana sekiranya terdapat sebarang masalah dalam keluarga suami isteri ini boleh kembali kepada agama bagi mencari formula penyelesaiannya. Ini dapat mengurangkan risiko perceraian.
Bagi orang Islam di Malaysia, terdapat undang-undang khusus berhubung perkahwinan dan perceraian dinamakan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang digubal bagi memelihara hak-hak sebagaimana dianjurkan agama Islam. Amatlah penting bagi suami isteri mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri menurut undang-undang yang berkuat kuasa. Undang-undang ini mengawal peraturan dan tatacara sebelum perkahwinan, semasa dalam tempoh perkahwinan dan juga selepas perkahwinan dibubarkan.
Ketahuilah hak masing-masing agar apabila sesuatu buruk berlaku kelak, mudah bagi kita merujuk jalan penyelesaiannya ataupun sekurang-kurangnya sudah bersedia menghadapinya. Sudah tentu kursus-kursus perkahwinan yang diadakan beberapa hari terlalu singkat untuk mendedahkan perkara sebenarnya kepada pasangan pengantin. Kursus-kursus ini sebenarnya hanya memberi lontaran idea dan gambaran kasar alam perkahwinan kelak secara teori. Ia tidak mencukupi bagi mengeratkan simpulan ikatan pernikahan antara kedua pasangan.
Apa pun keadaannya, terpulanglah kepada kedua pasangan bagaimana mencorakkan rumah tangga mereka ini. Tanyalah diri masing-masing, rancanglah perbelanjaan dan pendidikan bagi diri dan keluarga. Sentiasalah berbincang antara satu sama lain. Hormatilah pasangan masing-masing. Semakin hari tanggungjawab dipikul itu semakin berat dan sekiranya kita tidak mendekatkan diri kepada ALLAH, sudah pasti ALLAH tidak akan membantu kita meringankan beban tersebut.
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN