BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini dihujani dengan ucapan selamat dan tahniah sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-92 tahun.
Anakandanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam catatannya di Facebook meminta agar Mahathir "diberi kesihatan yang baik untuk terus berjuang demi rakyat dan negara."
Ucapan selamat hari lahir turut disampaikan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman mikro Twitter miliknya.
"Saya harap supaya saya akan menjadi sekuat Tun apabila berumur 92 tahun kelak, eh, maksud saya 29 tahun," katanya.
Selain itu, kolumnis, A Kadir Jasin turut mengucapkan ucapan tahniah kepada Mahathir dan mendoakan perjuangan beliau.
"Hari ini, 10 Julai 2017 adalah hari lahir Tun Dr Mahathir yang ke-92. Moga-moga ALLAH terus memberkatimu dan mengizinkan perjuanganmu.
"Doa kita agar Tun terus diberikan masa dan daya untuk berbakti kepada negara dan menjadi ilham kepada kita. InsyaALLAH," katanya pula.
Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Bersatu lahir pada 10 Julai 1925 dan pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 selama 22 tahun.
Sempena hari yang cukup bermakna kepada bekas Perdana Menteri ini, orang ramai turut memberikan ucapan mereka menerusi laman Facebook mendoakan kesihatan Mahathir.
Pengguna Facebook, Abdul Shukor Mohd Said mendoakan agar kesihatan Mahathir terjaga dan dapat mengembalikan kegemilangan Malaysia.
"Ya ALLAH SWT, peliharalah kesihatan ayahanda Tun M baik-baik semoga dapat kembalikan kegemilangan Malaysia," tulisnya.
Perkara tersebut disokong oleh pengguna Facebook, Sujiati Yati.
"Sayang ayah Tun M semoga sihat dan sentiasa dirahmati ALLAH SWT," tulisnya pula.
Sinar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN