SEAWAL jam 7 pagi lagi, peminat setia jenama tudung tersohor Fareeda berada di pekarangan Butik Fareeda di Bandar Baru Bangi bagi mengambil nombor giliran pembelian keesokannya.
Begitulah HEBATNYA PENANGAN TSUNAMI POLKA FAREEDA yang menjadi fenomena, Ahad, baru-baru ini.
Lebih dari 2000 pelanggan berkampung di pekarangan Butik Fareeda semata-mata untuk tidak melepaskan peluang memiliki koleksi terhad ‘Princess of Persia’ dalam corak Polkadot.
Bukan sahaja corak dan keluarannya yang terhad serta ‘evergreen’ yang menjadi taruhan, Fareeda juga menampilkan penataan batuan ‘diamonds’ tampalan berkilauan yang berkualiti tinggi untuk menambahkan lagi keanggunan si pemakai.
Oleh kerana jumlah peminat tegar Fareeda BEGITU LUAR BIASA, pengedaran tiket (nombor giliran) yang ditetapkan jam 5 petang telah diawalkan sejam sebelum waktu sebenar.
Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim, 27, berkata, jumlah pelanggan beratur perkara tidak dijangka.
“Kami terpaksa mengedarkan tiket (nombor giliran) tersebut lebih dari 2,000 keping, melepasi jumlah jangkaan kami.
“Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan dan saya sangat bersyukur tidak berlaku sebarang pergaduhan atau masalah lain,” katanya.
Salah satu faktor utama yang mendorong terjadinya Tsunami Polka Fareeda adalah tawaran harga promosi RM120 dengan pembelian terhad dua tudung untuk satu tiket sahaja.
“Harga promosi hanya dijual pada hari tersebut sahaja dan ia kembali kepada harga normal RM150.
“Koleksi kali ini ditawarkan dengan 30 jenis corak polkadot dan warna yang berbeza. Tarikan utama tudung “Princess of Persia” Polkadot itu adalah setiap corak dan rekaan adalah terhad dan tidak diulang keluarannya," katanya.
Golongan lelaki turut beratur
Menceritakan pengalaman lalu, pelanggan akan bermalam di hadapan kedai bagi mendapatkan angka giliran.
Namun selepas itu, pihak pengurusan Fareeda tidak membenarkan mereka berbuat demikian atas faktor keselamatan dan keselesaan peminat Fareeda.
“Disebabkan kekangan masa untuk mereka beratur, keadaan lebih gawat berlaku akibat berebut tempat untuk mendapat nombor giliran yang terawal.
“Bukan sahaja wanita beratur, malahlelaki turut berbuat demikian,” katanya.
Mawar berkata, sebelum ini hanya golongan Hawa sahaja beratur mengambil nombor giliran sebelum ini, tetapi lelaki juga mula menunjukkan minat untuk penambahan pendapatan dengan menjadi seller Fareeda.
Trend ini semakin meningkat memandangkan pulangan lumayan yang menanti mereka.
“Saya akui dengan adanya pelanggan lelaki, keadaan menjadi sedikit tegang akan tetapi pihak kami telah mengambil langkah keselamatan dan berjaga-jaga dengan mengetatkan kawalan,” katanya.
Ubah sistem pembelian
Sememangnya Fareeda mengambil inisiatif dengan menetapkan masa yang dibenarkan bagi pelanggan mula beratur untuk mengelakkan kesesakan dan rempuhan setiap kali keluaran terbaru. Namun pertambahan jumlah pelanggan adalah begitu drastik.
Malah setiap kali keluaran baharu, jualan meningkat 30 peratus.
Menurut Mawar, sistem nombor giliran dilihat lebih teratur berbanding pelanggan terus beratur di pekarangan Butik Fareeda. Setiap nombor giliran ada masa tertentu untuk masuk ke butik untuk membuat pembelian. Jadi pelanggan boleh datang 20 minit sebelum nombor giliran mereka dipanggil.
“Tempoh masa tertentu ditetapkan dengan hanya satu kumpulan pelanggan sahaja dibenarkan berada di dalam butik untuk memilih tudung yang dihajati.
“Jika tiada sistem ini, butik mungkin diserbu dan situasi menjadi lebih parah akibat perebutan tudung.
"Jika sebelum ini, kami telah melaksanakan sistem beratur dan membeli pada hari yang sama. Namun setelah menilai pro dan kontra, pihak pengurusan menukar tarikh pembelian diadakan keesokan harinya untuk memastikan pelanggan selesa dan boleh datang ke butik pada waktu yang ditetapkan mengikut nombor giliran mereka," katanya.
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN