Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Catatan Popular Minggu Lepas

Jumaat, 8 April 2016

Wang lesap ditipu 'Datuk'

Wang lesap ditipu 'Datuk'

SUNGAI BESAR – Seramai 16 penduduk di Parit 16 Sungai Panjang mendakwa kerugian antara RM600 hingga RM1,500 selepas ditipu pihak kontraktor yang kononnya dijanjikan peluang perniagaan di bengkel industri kecil dan sederhana (IKS) Merbau Berdarah, sejak lebih setahun lalu.

Penduduk memberitahu, pihak kontraktor meminta mereka menyediakan wang pendahuluan untuk membaik pulih premis dan memasang pendawaian elektrik di bangunan bekas pusat latihan GiatMara Sabak Bernam yang terbiar sejak sekian lama.

Bagaimanapun, sehingga kini, kontraktor yang diketuai seorang bergelar ‘Datuk’ bersama seorang wanita menghilangkan diri selepas menerima wang bayaran tapak ekspo yang berlangsung di hadapan premis terbabit.

Malah, lebih mengecewakan, seramai 15 pekerja pentadbiran termasuk pengawal keselamatan dan tukang kebun yang diambil bekerja dengan kontraktor itu turut tidak dibayar gaji selepas berkhidmat selama sebulan dengan pihak terbabit.

Gotong-royong bersih premis

Penduduk, Salasiah Sahat, 40, berkata, pihak kontraktor menjanjikan kawasan itu bakal dibangunkan premis perniagaan seperti kedai makan, kedai jahitan, bengkel motosikal dan pusat urutan tradisional.

“Mereka dah daftar nama penduduk yang nak berniaga di sini. Bila dah daftar, pihak terbabit minta kami bayar wang pendahuluan sekurang-kurangnya RM600 untuk kerja baik pulih,” katanya.

Menurutnya, penduduk yang membayar deposit juga diminta menyertai gotong-royong membersihkan kawasan premis terbabit.

“Kamilah yang tebas lalang dan semak samun, buang kaca tepi jalan, bersih longkang dan sebagainya. Ingatkan bila dah bersih, senanglah nak berniaga, tapi semuanya indah khabar dari rupa,” katanya.

Dia berkata, seorang anaknya turut ditipu apabila ditawarkan bekerja sebagai kerani pemasaran di bangunan itu, namun setelah sebulan bekerja, pihak kontraktor hilang tanpa dikesan.

“Kontraktor janji nak jual barang seperti gula dan tepung dengan harga murah di premis yang akan dibuka nanti. Anak saya yang bekerja dengan mereka disuruh kutip duit tempahan barangan daripada penduduk.

“Bila anak saya dah kutip duit daripada penduduk, kontraktor pun tak nampak batang hidung,” katanya.

Malah katanya, penduduk mengeluh apabila wang tempahan untuk membeli barangan yang dijanjikan itu dilarikan dua individu berkenaan.

Salasiah berkata, kali terakhir mereka ditipu kontraktor apabila diarah membayar tapak ekspo sebanyak RM50 di hadapan bangunan premis terbabit.

“Habis saja ekspo, kontraktor pun hilang entah ke mana. Bila dihubungi, telefon bimbit mereka tak berangkat.

“Kami buntu dengan apa yang berlaku. Apa yang penting, kami nak duit kami dikembalikan semula,” katanya.

MDSB benarkan peniaga lain sewa

Seorang lagi penduduk, Kamariah Baharudin, 66, berkata, sebanyak RM1,210 wang pendahuluan diserahkan kepada kontraktor terbabit bagi menjalankan perniagaan urutan tradisional khusus untuk wanita.

“Mula-mula saya bayar RM550, lepas tu, kontraktor itu datang ke rumah saya dan minta jelaskan RM660 lagi. Dia kata nak masuk elektrik dan air.

“Saya bagi alasan tak ada duit, tapi dia desak juga dan saya minta dia beri resit dan salinan MyKad. Kontraktor tu bagi alasan MyKadnya tertinggal di rumah,” katanya.

Kamariah berkata, peniaga yang membayar wang pendahuluan di premis yang ditawarkan kontraktor itu kini berdepan tekanan apabila Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) membenarkan peniaga lain untuk menyewa premis berkenaan.

“Saya difahamkan, MDSB beri kebenaran kepada sesiapa yang nak berniaga di sini, asalkan mereka baik pulih sendiri premis terbabit, sedangkan kami yang dah ditipu bayar wang pendahuluan tak dapat keutamaan,” katanya.

Kerja tanpa gaji

Mohd Faizal Rosdi, 27, pula berkata, pihak kontraktor menawarkannya bekerja sebagai kerani komputer dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

“Sempatlah kerja sebulan, tapi hanya sia-sia kerja tanpa gaji, bila kontraktor cabut lari,” katanya.
Dia yang memiliki diploma multimedia di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, selepas kejadian itu, dia kini hanya bekerja sebagai tukang kebun di salah sebuah sekolah berhampiran.

“Ingatkan dapatlah kerja di bahagian pengurusan, malangnya ditipu.

"Sekarang ni dah tak ada pilihan kerja, terpaksalah cari rezeki di mana pun, asalkan duit yang diperoleh halal,” katanya.

Sementara itu, MDSB memaklumkan akan mengulas mengenai isu terbabit dalam masa terdekat.

Kredit : Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAK ANDA UNTUK KOMEN

Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...

Nak beli domain mudah dan servis terbaik....  https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778    klik banner yang kami beri ini...   Testim...

Catatan Paling Popular