PENYANYI Ezlynn mengambil kesempatan melibatkan diri dengan Tadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadan tahun ini bagi mengejar keberkatan bulan yang mulia ini.
Menurut Ezlynn, di samping itu juga, ia menjadi terapi yang baik buatnya mengisi kekosongan memandangkan ini merupakan Ramadan pertama sejak dia bercerai dengan Adam Fahmy Shamsudin.
"Ia sebenarnya mengisi kekosongan daripada melakukan perkara tidak berfaedah dalam bulan yang mulia ini."Alhamdulillah tahun ini saya dapat menyertai ibu menghadiri Tadarus Al-Quran pada setiap malam.
"Daripada lakukan perkara sia-sia, lebih baik cari agama. Cintakan Rasul, sayangi diri dengan mendekatkan diri dengan agama," katanya kepada mStar Online.
Ezlynn ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran produk kesihatan Limeshots yang diadakan pada Sabtu lalu.
Selain Ezlynn, dalam majlis pelancaran produk terbaharu keluaran Limeshots itu artis Fynn Jamal, Datin Alyah, Riz Amin dan Ikhwan turut hadir.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa mengenakan hijab, Ezlynn menjelaskan dirinya masih belum menutup aurat sepenuhnya dan ia sebagai menghormati bulan Ramadan.
Bagaimanapun dia berharap keberkatan bulan Ramadan ini mudah-mudahan akan menjentik pintu hatinya agar terus kekal memakai tudung.
"Belum lagi... InsyaALLAH. Doa-doakan saya terus kekal memakai tudung dengan keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia juga teruja apabila sudah kembali berlakon menerusi drama bersiri 30 Juzuk Cinta.
Menariknya mengenai drama arahan Zul Huzaimy itu, dia membawa watak antagonis yang disifatkan sebagai mencabar namun menyeronokkan.
"Saya sebenarnya sudah lama tak berlakon tetapi apabila mendapat tawaran ini saya tertarik selepas membaca skripnya.
"Tambahan pula watak diberikan antagonis jadi saya lebih tertarik dan teruja untuk melakukannya," jelasnya.
Selain itu, Ezlynn berkata, single terbaharunya juga bakal dilancarkan selepas sambutan hari raya nanti.
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN