Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Catatan Popular Minggu Lepas

Khamis, 30 Ogos 2018

Makam dipercayai milik Sultan Mudzafar Shah I ditemui

Makam sultan

SUNGAI PETANI - Nama Maharaja Phra Ong Mahawangsa cukup sinonim dengan sejarah negeri Kedah sementelah ia juga raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah I.

Selepas lebih 900 tahun, pencarian sulur galur baginda yang namanya turut dicatat sebagai Seri Paduka Derbar Raja semakin terbongkar dengan penemuan beberapa makam purba yang terletak di Kota Bukit Meriam di daerah Kuala Muda di sini.

Baginda mempunyai dua putera iaitu Raja Phra Ong Mahawangsa dan Raja Buluh Betong. Sebelum baginda mangkat, baginda menabalkan Raja Phra Ong Mahawangsa sebagai Raja Kedah ke-7 dan mengarahkan puteranya itu menetap di Kota Bukit Meriam.  Menelusuri rentetan sejarah dengan merujuk dua kitab utama sejarah Kedah iaitu Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah, secara asasnya, Kota Bukit Meriam mula dibina pada zaman pemerintahan Raja Phra Ong Maha Putisat iaitu Raja Kedah ke-6 yang ketika itu bersemayam di Kota Aur iaitu daerah Seberang Perai sekarang.  

Seperti yang tercatat dalam At-Tarikh Salasilah, Phra Ong Mahawangsa, Raja Kedah ke-9 (atau Raja Kedah ke-7 mengikut Hikayat Merong Mahawangsa) ini kemudian memeluk agama Islam dan bergelar Sultan Mudzafar Shah I dan mangkat di Kota Bukit Meriam pada 1179 masihi.  

Makam tua berbatu nisan purba

Ketua Penyelidik bagi Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas, Universiti Utara Malaysia (UUM), Syamsyul Anuar Ismail berkata, tinjauan pada lewat Jun lalu menemukan penyelidik dengan kewujudan Langgar atau Makam Diraja Kota Bukit Meriam seperti yang disebutkan dalam At-Tarikh Salasilah.

Daripada maklumat awal, terdapat sebuah makam tua dengan sepasang nisan purba di atas lot tanah milik seorang imam tua, Mohamad Nor di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda.
Atas pelbagai sebab, pasangan batu nisan dipindahkan ke tanah perkuburan Masjid Sintok Bugis, Kuala Muda, terletak lebih kurang dua kilometer dari tapak asal pada September 2017 dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah.

“Di tanah lot persendirian ini, kita menemui sebuah makam yang mempunyai batu nisan purba dan apa yang menariknya, batu nisan ini diperbuat daripada batu kawi yang kini masih dalam kajian.
“Setakat ini, belum pernah ditemui batu nisan jenis batu kawi ini di mana-mana negeri Kedah, mahupun di seluruh Semenanjung ini,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan batu nisan purba itu, beliau berkata ia mempunyai ukuran besar dan luar biasa iaitu 93.98 sentimeter di bahagian kepala, 35.56 sentimeter (lebar bahu), 27.94 sentimeter (pinggang) 33.02 sentimeter (tapak) dan 8.89 sentimeter tebal menunjukkan ianya milik kalangan raja-raja. Lebih menarik, belum pernah ditemui pasangan batu besar bersaiz besar sebegitu di tempat lain di dalam Mukim Bukit Meriam.

“Kedua-duanya hampir sama besar dengan berbentuk pepeh namun memiliki ukiran yang berlainan. Secara amnya, kedua nisan ini mempunyai kepala, badan, pinggang dan kaki dan diperbuat daripada batu lembut iaitu batu kawi yang berwarna kemerah-merahan,” katanya.  
Tambah beliau, tidak wujud tulisan jawi atau bahasa lain manakala corak sulur kacang dengan sentuhan halus dan berseni menunjukkan ukiran tersebut dibuat oleh orang Melayu yang mahir bertukang.

“Ianya langsung tak sama dengan batu nisan Acheh yang ditemui sebelum ini.  Dalam masa yang sama, keadaan ini sangat sesuai dengan masanya iaitu sekitar tahun 1179 Masihi iaitu waktu kemangkatan Sultan Mudzafar Shah I,” katanya.

Langgar Diraja Bukit Meriam

Bukan itu saja, berdekatan makam lama ini juga terdapat satu lagi makam purba yang disebut masyarakat setempat sebagai ‘Keramat Tok Wahid’.
“Terdapat juga sederet makam lama yang sudah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan di sisi lot tersebut.

“Menguatkan penemuan ini juga adalah lot tanah ini hanya berjarak 200 meter dari kaki Bukit Meriam di mana wujudnya bekas dinding purba yang dipercayai sebahagian daripada runtuhan Kota Bukit Meriam atau barangkali terbinanya sebuah istana utama dalam kota tersebut,” kata Syamsyul Anuar.

Malah, menurut At-Tarikh Salasilah,  terdapat tiga orang sultan yang pernah memerintah Kota Bukit Meriam iaitu Sultan Mudzafar Shah I, Sultan Muadzam Shah dan Sultan Muhammad Shah. Ketiga-tiga mereka dikatakan dimakamkan di Langgar Kota Meriam.  
“Memang diakui agak sukar menentukan nama atau tarikh makam ini memandangkan tiada apa apa yang tertulis pada nisan yang ditemui, namun kewujudan Keramat Tok Wahid di kawasan perkuburan asal boleh dijadikan penanda aras kepada penyelidikan yang lebih mendalam.  

“Dalam bahasa Arab, perkataan wahid itu bererti pertama dan ini boleh dikaitkan kepada Sultan Mudzafar Shah I sebagai Sultan Kedah yang pertama.
Ini juga, menurut penasihat projek dan juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK),  Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusuf, boleh menolak penemuan makam di Kampung Pengkalan Bujang sebagai makam Sultan Mudzafar Shah I kerana faktor masa dan lokasi pusat pemerintahan baginda.  

“Kajian menunjukkan bahawa tamadun masyarakat Melayu di kawasan Merbuk dan Sungai Batu itu jauh lebih awal iaitu seawal abad ke-5 Sebelum Masihi berbanding dengan masyarakat Bukit Meriam dan Sungai Emas.

“Bagaimanapun, perubahan geografi termasuk munculnya tanah baru selepas surut paras air laut antara abad ke-4 hingga ke-14 menyatukan kawasan di sekitar Bukit Meriam termasuk Bukit Penjara dan Bukit Puteri sehingga mewujudkan Mukim Bukit Meriam dan Sungai Mas,”katanya.  

Pelbagai teori wujud seiring penemuan artifak

Beliau menambah, pertembungan masa atau terdapat dua waktu berbeza pemerintahan sultan terawal Kedah di mana terdapatnya pengaruh Hindu pada ukiran nisan memungkinkan pelbagai teori lain wujud seiring penemuan artifak purba dari masa ke semasa.  

“Kajian awal menunjukkan batu nisan ini berumur lebih ‘tua’ dari apa yang ditemui sebelum ini dan perlu rasanya penemuan dan bukti di Kampung Pangkalan Bujang dikaji semula.  
“Saya percaya, mungkin bukti terbaharu ini boleh dirujuk kepada penemuan makam Phra Ong Mahawangsa atau lebih dikenali sebagai Seri Paduka Maharaja Derbar Raja dan jika ia keterlaluan, sekurang-kurangnya di sini adalah kawasan sebenar Langgar (makam) Diraja Kota Bukit Meriam.

“Malahan, saya sendiri lebih suka merujuk kepada At-Tarikh Salasilah berbanding catatan Hikayat Merong Mahawangsa yang lebih condong kepada mitos,” katanya.  

Kawasan sejarah perlu dilindungi

Dalam pada itu, Syamsyul Anuar berharap agar kawasan bersejarah tersebut dapat dilindungi daripada penjarah artifak.  
Beliau turut percaya masih banyak artifak termasuk makam purba di kawasan Kota Bukit Meriam dan setiap cebisan penemuan tersebut mampu menjadi jawapan terhadap sejarah negeri Kedah.  

“Macam nisan daripada batu kawi ini,  ia sangat lembut. Jadi kita bimbang jika ia terhakis akibat cuaca dan dalam masa yang sama, dicuri.
“Kita berharap Jabatan Warisan dapat melindungi kawasan ini dengan sebarang kaedah terbaik untuk memastikan artifak yang belum ditemui,  terpelihara
“Kita juga perlu kajian lebih mendalam untuk membuktikan batu nisan tersebut adalah makam Sultan Mudzafar Shah I,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAK ANDA UNTUK KOMEN

Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...

Nak beli domain mudah dan servis terbaik....  https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778    klik banner yang kami beri ini...   Testim...

Catatan Paling Popular