BENTONG - Kampung Janda Baik di daerah Bentong cukup dikenali kerana keindahan alam semula jadinya.
Bagaimanapun, asal usul namanya menjadi tanda tanya khususnya dalam kalangan masyarakat luar daerah ini.
Mungkin ada yang terlintas di fikiran mereka, kenapa nama kampung berkenaan ialah Janda Baik? Keunikan nama itu membawa penulis bertemu penduduk Kampung Janda Baik untuk berkongsi asal usul pembukaan kampung itu.Bagi mereka yang melalui jalan ke Air Terjun Lata Jarum pasti pernah melihat papan tanda kampung ini berdekatan jambatan sebelum sampai ke air terjun berkenaan.
Sebelum bertemu mereka, penulis sendiri pernah mendengar pelbagai versi mengenai asal-usul namanya.
Mitos kononnya dikatakan nama itu ada kaitan dengan sejarah pembukaan kampung terbabit. Ada yang mendakwa nama unik Janda Baik itu ekoran satu ketika dulu ramai wanita yang bergelar janda tinggal di situ, selepas suami mereka maut dalam perang saudara yang berlaku di Selangor.
Kebanyakan janda terbabit, bukan sahaja mempunyai potongan badan yang menarik dan wajah cantik tetapi peribadi mereka baik serta sanggup membantu orang lain yang dalam kesusahan.
Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Ayop, 70, berkata, pada asalnya lokasi berkenaan adalah kawasan terpencil yang didiami Orang Asli.
Peneroka mula datang ke kawasan itu pada tahun 1930 untuk mencari kawasan baharu selepas berlaku banjir besar pada tahun 1926 yang menenggelamkan banyak kawasan semenanjung.
“Hampir semua penduduk awal yang berpindah ke lokasi itu, berasal dari Bentong. Kampung yang terletak di kawasan tanah datar dipenuhi hutan dan dikelilingi gunung-ganang ini dibuka oleh tiga sahabat yang dikenali sebagai Haji Deris, Haji Kadir dan Haji Yasir.
“Untuk mengenal pasti sama ada lokasi itu sesuai dijadikan perkampungan atau tidak, mereka berpakat membina pondok dan duduk hampir seminggu di sana. Bermula dari detik itulah kampung ini dibuka dan saudara-mara mereka di Bentong berpindah ke sini,” katanya.
Zahari berkata, sebagai menghargai usaha tiga sahabat yang meneroka kawasan hutan itu maka kampung berkenaan dikenali sebagai Kampung Tiga Haji.
Menurutnya, jumlah penduduk di kampung Janda Baik terus bertambah dan Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam, berkenaan membuat kunjungan kali pertama ke Kampung Tiga Haji pada tahun 1932.
“Baginda mencemar duli berbual dengan penduduk kampung, ada yang bercerita kawasan itu didiami Orang Asli dan bercucuk tanam seperti padi serta buah-buahan.
“Ada satu cerita mengisahkan berlaku pertengkaran antara Tok Batin Orang Asli kampung terbabit dengan isterinya, Siah hingga menyebabkan mereka berpisah,” katanya.
Bagaimanapun menurut Azhari, tidak sampai sebulan berjauhan, Siah pulang semula ke rumah Batin Wok dan kepulangannya diterima dengan baik.
“Sawah padi yang diusahakan sebelum berpisah semakin subur dan matang serta masak, menjadikan mereka semakin bahagia.
“Berdasarkan kisah itu, Orang Asli di sana menggelar tanah berkenaan sebagai Janda Balik merujuk kepada Siah yang balik semula ke pangkuan Batin Wok.
“Baginda Sultan Abu Bakar yang tertarik dengan kisah yang disampaikan itu kemudian menukar nama kepada Janda Baik, sekali gus kekal sehingga kini,” katanya.
Janda rawat penduduk
Satu lagi cerita yang boleh diterima mengenai bagaimana kampung itu mendapat nama Janda Baik berikutan wujudnya seorang janda yang membantu merawat penduduk Pahang yang cedera setelah menyertai peperangan saudara di Selangor pada tahun 1918.
Zahari berkata, ramai rakyat Pahang cedera dan ada di antara mereka terpaksa berpatah balik ke Temerloh.
“Dalam perjalanan pulang ke Temerloh, mereka melalui satu kawasan hutan dikelilingi bukit bukau, iaitu Pulau Santap lokasi asal kampung berkenaan.
Mereka bertemu seorang janda yang menawarkan khidmat untuk merawat yang cedera serta membenarkan mereka berlindung sementara di rumahnya sehingga sembuh.
“Sekembali di Temerloh mereka bercerita mengenai kebaikan seorang janda itu kepada penduduk dan sejak itu lokasi terbabit dikenali sebagai Kampung Janda Baik,” katanya.
Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN