Keputusan itu dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April lepas dan boleh diikuti melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor www.muftiselangor.gov.my.
Sehubungan itu, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam kenyataan di sini hari ini berterima kasih kepada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung penjelasan berkaitan hukum melibatkan pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB.
Menurutnya perkembangan ini adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tahun 2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB berserta dividen dan bonus yang diperoleh adalah harus.
Selain Selangor, negeri lain yang turut memutuskan pelaburan ASNB sebagai harus adalah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak.
Abdul Wahid juga berjanji untuk memenuhi permintaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang meminta PNB untuk meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarak sepenuhya.
Menurutnya hukum pelaburan ini akan dikaji semula selepas tiga tahun bagi memastikan peraturan pelaburan patuh syariah ASNB adalah melebihi 75 peratus.
Beliau juga percaya dengan perkembangan terkini itu, para pelabur Islam di Selangor kini lebih yakin dengan hukum pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB dan diharap dapat menyakinkan mereka untuk terus meningkatkan pelaburan masing-masing. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN