SELEPAS tamat pengajian dalam bidang kemahiran,
golongan belia rata-ratanya bercita-cita mahu membuka perniagaan
sendiri, namun didakwa sukar mendapatkan bantuan daripada mana-mana
pihak.
Benarkah golongan belia susah mendapatkan pembiayaan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka?
Kini, mereka boleh menarik nafas lega apabila Majlis Amanah Rakyat
(Mara) menyediakan kemudahan pinjaman baharu untuk belia menerusi Skim
Pembiayaan Perniagaan Program Putra yang diperkenalkan Jun lalu.
Pegawai Khas kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jamawi
Jaafar berkata, skim itu terbuka kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun
asalkan mereka mempunyai lesen perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) serta premis
berniaga.
“Skim pembiayaan ini lebih mudah berbeza dengan pinjaman yang sedia ada
sebelum ini kerana tidak perlukan penjamin atau cagaran dan juga
penyata bank.
“Walaupun mereka hanya berniaga dari rumah, kios atau berniaga di
hadapan rumah, belia ini tetap boleh memohon pinjaman ini,” katanya.
Menurutnya, skim itu menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000
tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun.
“Jumlah pembiayaan itu bergantung pada pinjaman yang dipohon oleh peniaga itu sendiri,” katanya.