KUALA LUMPUR 6 Mac – Peniaga kedai makan, Abdul Hafiz Azam, 38, tidak menyangka menjadi jutawan dalam sekelip mata apabila memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta selepas menjadi ejen Tone Group paling aktif.
Dia yang sudah menyertai Tone Excel International Sdn. Bhd. (Tone Excel) iaitu anak syarikat Tone Group sejak 2010 menganggap tanda pagar #jutawanmukmin di laman sosial Facebook berjaya mendapat hampir 200 ahli di bawah kendaliannya.
“Pada mulanya saya terfikir kenapa saya tidak menggunakan telefon pintar dengan sebaik-baiknya sedangkan kita boleh mendapat lebih manfaat. Saya mulakan #jutawanmukmin di Facebook untuk memperkenalkan kad sim Tone Excel tanpa perlu bersemuka dan berjumpa dengan pelanggan.
“Pendekatan yang saya gunakan sangat mudah dan alhamdulillah, saya dapat membantu rakan lain yang mahu mencari pendapatan sampingan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Hafiz yang berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dalam bidang kulinari memberitahu, dia sentiasa positif untuk mencari rezeki sampingan bagi menampung kehidupan keluarganya.
“Saya berniaga menjual makanan setiap petang hingga lewat malam untuk mencari rezeki. Selain menyertai Tone Excel dan menjadi ejen, saya juga berniaga barang makanan secara dalam talian antaranya Pelam Lemak Manis, Popia Pukau dan Rendang Maman.
“Peluang rezeki ini saya mahu kongsi bersama dengan isteri, Siti Hajar Mohd. Isa dan dua orang anak yang masih berada di bangku sekolah. Jadi, saya perlu melakukan banyak kerja selagi kudrat saya kuat,” katanya yang mempunyai sebuah kedai makan di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Bercerita tentang kejayaannya sebagai ejen, Abdul Hafiz memberitahu, dia menggunakan modal permulaan sebanyak RM96 dan boleh menjana pendapatan sampingan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Pada 2010, saya diperkenalkan tentang kad sim ini oleh rakan baik, Nor Azman Mat Noor namun saya tidak terus menyertainya kerana kurang faham tentangnya.
“Selang beberapa bulan, saya mendapat sebuah buku untuk dibaca dan memahami tentang bagaimana ingin menjual kad sim tersebut dan akhirnya, kini saya mempunyai lebih 200 ejen di bawah kelolaan saya dengan menggunakan laman sosial Facebook sebagai medium utama,” katanya.
kredit : © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN