CINA Kelantan umpama orang Cina yang bukan Cina, Siam pun bukan, jauh sekali Melayu. Mereka yang juga dikenali sebagai Cina Peranakan Kelantan ini sangat unik dan lain daripada yang lain. Orang luar yang berkunjung ke Kelantan pasti sukar mengenal pasti siapa Melayu, Cina atau Siam.
Cina Peranakan Kelantan tidak seperti kaum Cina di negeri-negeri lain kerana percakapan harian mereka yang dalam bahasa Hokkien bercampur dengan loghat Kelantan dan Siam dan mereka amat fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang, tidak menampakkan seperti kaum Cina yang lain.
Mungkin salah satu faktor adalah kerana mereka gemar memakan budu. Ulam-ulaman dan budu menjadi makanan harian mereka dan turut dihidangkan ketika makan besar Tahun Baharu Cina. Pendek kata, mereka lebih mengenali budu berbanding yee sang. Oleh sebab itu juga mereka lebih menggunakan tangan ketika menjamu selera kerana ia lebih sesuai dan mudah untuk menikmati petai atau jering bersama budu.
Budu merupakan makanan tradisional Kelantan yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam di dalam tempayan sehingga hancur. Ia biasanya dihasilkan oleh pengusaha perusahaan kecil dan sederhana dan dijual di dalam botol di kedai-kedai runcit. Kini, budu juga boleh didapati di dalam pek plastik agar senang dibawa, sama ada di dalam kapal terbang untuk ke luar negara atau dipos. Ada yang menggunakan nama sos bilis bagi tujuan pemasaran.
Budu boleh dinikmati begitu sahaja atau dicampurkan dengan cili api, mempelam, hirisan bawang dan air perahan limau nipis. Ada juga yang mencampurkan isi durian atau tempoyak untuk kelainan. Bagaimanapun, bukan semua orang Kelantan suka makan budu. Ini biasanya disebabkan baunya yang agak kuat dan tidak menyelerakan bagi sesetengah orang.
Laporan Bernama yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menyenaraikan khasiat budu yang mungkin tidak diketahui umum. Hasil beberapa kajian menunjukkan bahawa budu mengandungi glutathione yang merupakan bahan antioksida yang meningkatkan imuniti badan untuk melawan penyakit.
Menurut pengamal perubatan, Dr Syed Abu Bakar, budu didapati berpotensi melawan radikal bebas dan melambatkan proses penuaan, di samping menyekat penyakit degeneratif seperti aterosklerosis. Kajian juga menunjukkan ia mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif dan menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Ia hasil pemakanan seharian dan reaksi tubuh terhadap pemakanan. Antioksidan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.
Kebiasaannya, dalam apa jua jenis ikan terdapat tiga jenis isoflavon berunsur antioksidan, iaitu daidzein, glisitein dan genistein. Di samping dua jenis unsur ini, budu juga mengandungi antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat.
Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat, membuktikan unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat dalam budu dapat mencegah kanser serta melambatkan proses penuaan. Bukan itu sahaja, budu juga dapat mempertingkatkan IQ kerana ia merangsang sel-sel otak dan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi (kembung perut) bagi kanak-kanak dan orang dewasa.
Terdapat beberapa lagi kebaikan budu yang digemari oleh masyarakat Cina Kelantan ini walaupun pengambilannya secara berlebihan tidak digalakkan untuk mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, gout, kencing manis, jerawat batu, barah payudara dan keguguran rambut kronik.
Kegemaran masyarakat Cina Kelantan terhadap budu di samping makanan tradisi Melayu yang lain seperti nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, tapai ubi, dan ketupat, adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada proses asimilasi mereka dengan kaum Melayu di Kelantan.
Dengan budaya masyarakat Kelantan yang tidak membezakan sesama sendiri meski berlainan kaum dan agama serta lebih senang dikenali sebagai oghe Kelate (orang Kelantan), Cina Kelantan digelar oghe Cino kito.
*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
Kredit : Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
HAK ANDA UNTUK KOMEN