BUKAN hanya pada hari biasa, perniagaan pulut kuning dan rendang pelakon Zarina Zainuddin semakin rancak pada bulan Ramadan.

Menurut Zarina, hampir setiap minggu tempahan pulut kuning diterima terutama daripada ejennya, selain dijual di bazar-bazar besar yang dianjurkan syarikat di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Kuantan, Pahang.

"Pulut kuning dan rendang ini tahan lama bila disimpan di dalam peti sejuk dan ia boleh dipanaskan semula apabila kita hendak makan.
"Jadi ramai yang jadikan pulut kuning dan rendang ayam, daging atau kerang kami sebagai juadah untuk berbuka dan bersahur," katanya sejak memulakan perniagaan itu tiga tahun lalu.

Walaupun bukanlah berniaga setiap hari, namun Zarina berkata, setiap kali dia menjual pulut kuning dan rendangnya pada suatu-suatu acara tertentu, produknya habis dijual dalam tempoh dua jam.

"Dari segi kuantiti, ia bergantung kepada permintaan sesuatu lokasi itu. Paling sedikit saya sediakan 50 pek dan paling banyak sehingga 200 pek, mengikut permintaan atau acara-acara tertentu.
"Rata-rata pelanggan membeli kerana memang mereka hendak makan pulut dan rendang, bukan kerana saya artis. Sebagai peniaga, kami masak dengan penuh kasih sayang dan mengikut cita rasa pelanggan," katanya yang menjual pulut kuning dengan rendang pada harga antara RM12 hingga RM15 sebekas.

Selain itu, Zarina turut menjual tudung menerusi jenama Quenella dan Khimar by Zarina Zainuddin serta kosmetik jenama Addura.

Sepanjang Ramadan, Zarina juga tidak ketinggalan menjual kuih raya buatan sendiri, iaitu 'almond London', 'almond crispy', mentega kacang dan tat nenas.

"Semuanya saya buat sendiri dengan dibantu keluarga yang menguruskan perniagaan. Namun, kami tidaklah menjual dalam kuantiti yang banyak sebab semuanya buat sendiri," katanya.

Sinar Harian