KANGAR - Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan umat Islam agar jujur dalam mencari rezeki untuk mendapat keberkatan dengan menggunakan sumber wang yang halal.

Mohd Asri berkata, penggunaan wang yang halal hasil titik peluh ketika bekerja sudah pasti digunakan untuk keperluan harian anggota keluarga termasuk soal pemakanan.

"Jangan sesekali lupa bahawa pemakanan halal amat penting bagi setiap umat Islam kerana Allah hanya akan memakbulkan doa dari mereka yang makan makanan dibeli dari hasil wang atau rezeki yang halal," katanya.

Mohd Asri menyampaikan tazkirah zohor sempena program Raudhatul Iktikaf di sepuluh terakhir Ramadan anjuran Jabatan Mufti Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Mufti Perlis menarik perhatian dengan memberi contoh mereka yang terlibat dalam penipuan pengendalian pakej umrah dengan menjanjikan jemaah tempat tinggal istimewa di tanah suci Mekah dan Madinah.

"Ada yang menawarkan pakej yang memberi keselesaan kononnya kerana dekat dengan masjid, tetapi hakikat sebenar jaraknya jauh.

"Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan bersuara dan menuntut apa-apa hak atas alasan perlu bersabar dan reda dengan pelbagai ujian di tanah suci," katanya.

Katanya, tidak kurang juga bentuk penipuan lain terutamanya oleh peniaga.

"Makanan yang dimasak atau ikan yang disimpan beberapa hari tetapi peniaga memaklumkan kepada pembeli makanan itu disediakan menggunakan ikan segar.

"Doa mereka ini (peniaga) tidak akan diterima oleh Allah walaupun selalunya pada akhir sepuluh Ramadan Allah memperkenankan doa setiap umatNya," katanya.

Malah perbuatan seperti ini akan menjadi punca terjadinya segala masalah hati dan sahsiah manusia yang akhirnya mempengaruhi serta merosakkan komuniti sesebuah masyarakat, kata Mohd Asri. - Bernama